
KEADILAN Sarawak membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Larry Sng selaku Pengerusi KEADILAN Sarawak berkata, kedegilan PSB yang mahu bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi faktor utama kerjasama itu tidak dapat diteruskan.
"Memandangkan PSB mengambil pendirian tegas untuk bertanding di kesemua 82 DUN dalam PRN Sarawak, jadi tidak ada gunanya KEADILAN Sarawak bekerjasama dengan mereka," katanya.
Pada masa sama, Larry menjelaskan KEADILAN juga enggan membuang masa berunding dengan PSB.
"Kita tidak akan tunggu sampai hujung bulan untuk berunding mengenai pembahagian kerusi. Sebarang rundingan mengenai kerjasama antara KEADILAN dan PSB sudah tiada.
"Perkara ini tidak akan berubah kerana kedua-dua parti sudah membincangkan selama berbulan-bulan, tetapi masih tiada kata sepakat.
"Justeru, KEADILAN Sarawak akan bertanding di 47 kerusi DUN bersama dengan DAP dan Amanah," katanya.
Sebelum ini, Larry berkata KEADILAN sudi memberikan separuh daripada kerusi yang dimenangi parti itu dalam PRN 2016 kepada PSB.
Beliau berkata, ia akan menjadi satu kejayaan jika KEADILAN memenangi tujuh ke lapan kerusi yang dipertandingkan.
Namun, beliau enggan memberikan kerusi yang dimenangi KEADILAN terutamanya di Batu Lintang dan Ba Kelalan.
Larry juga merasa hairan dengan permintaan PSB kerana parti itu tidak pernah bertanding semua kerusi dan tidak pernah bertanding menggunakan lambang sendiri.
PSB sebelum ini dikenali sebagai UPP. Parti itu memenangi lima daripada tujuh kerusi DUN yang ditandingi dalam PRN 2016 menggunakan lambang Barisan Nasional (BN).
PSB pada mulanya mengalihkan sokongan dari BN kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) namun parti itu menegaskan mereka adalah blok pembangkang.
Ketika ini, PSB mempunyai dua Ahli Parlimen iaitu Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat dan Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian. Kedua-duanya merupakan bekas ahli KEADILAN dan bertukar parti ketika Langkah Sheraton.
Di peringkat DUN, PSB mempunyai enam kerusi DUN iaitu di Opar, Batu Lintang, Engkilili, Dudong, Bawang Assan, Ba'kelalan.
ADUN Batu Lintang, See Chee How dan ADUN Ba'kelalan, Baru Bian memenangi PRN 2016 atas tiket KEADILAN.
Comments