Oleh: Helmi Mohd Foad
KEADILAN Sarawak menyambut baik ketegasan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg menyatakan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu terus menerajui Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal Parlimen ke-15.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN, Senator Abun Sui Anyit berkata, pihaknya juga bersetuju dengan Abang Johari yang menegaskan penukaran Perdana Menteri atau kerajaan pusat di pertengahan penggal tidak patut disokong kerana akan pasti akan merugikan dan menyusahkan rakyat.
"Kita berharap dengan kenyataan terbaru Abang Jo ini, diyakini menoktahkan apa-apa (sebarang) cakap-cakap yang kerajaan pusat akan tumbang.
"Kerajaan hanya dapat ditumbangkan dengan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat, bukan dengan Akuan Sumpah (SD) lagi," katanya dalam kenyataan.
Abun Sui berkata, pihaknya menasihatkan agar rakyat tidak perlu risau atau gelisah dengan berita dan harapan palsu yang disuarakan oleh pihak pembangkang dan laskar siber mereka saban hari.
Katanya, bagi menukar Kerajaan Pusat sekarang adalah mustahil kerana melibatkan perkenan seluruh kerangka kerajaan seperti sokongan majoriti di Parlimen, perkenan Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.
"Maka kita nasihatkan pembangkang dan penyokong taksub mereka, hentikanlah cerita palsu kerajaan tumbang.
"Rakyat keseluruhan pula tak usah mudah percaya kepada dongeng-dongeng TikToker pembangkang yang masih membuat cerita dongeng hanya untuk melariskan akaun TikTok atau media sosial mereka," ujarnya lagi.
Sejak tahun lalu terdapat lebih 5 tarikh diberikan pemimpin PN menjanjikan kejatuhan Kerajaan Madani. Antaranya selepas hari Raya Aidilfitri 2023, selepas pilihanraya 6 negeri pada Ogos, bukan Oktober 2023, pada tahun baharu 1 Januari 2024 dan terbaharu pada 18 Januari 2024.
Comments