KEADILAN Sarawak hulur bantuan mangsa kebakaran rumah panjang di Kapit
- Suara Keadilan
- Oct 5
- 2 min read

Pasukan KEADILAN Sarawak bersama KEADILAN Cabang Kapit yang diketuai Khusyairy Pangkaz, telah menziarahi serta menyampaikan bantuan bencana kepada mangsa kebakaran di Rumah Panjang Austin Ekau, Jalan Song Tamalat, Nanga Sungai Sipan, Kapit baru baru ini.
Menurut Pengerusi Biro Kebajikan dan Bencana KEADILAN Sarawak, Bruce Yee, rumah panjang berkenaan musnah sepenuhnya dalam kebakaran pada 28 September lalu sekitar jam 4.21 pagi, mengakibatkan 29 pintu rumah dengan hampir 75 penghuni hilang tempat tinggal dan harta benda dalam sekelip mata.
"Semua mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) hampir seminggu kini mula kembali ke tapak rumah panjang asal bagi mendirikan pondok sementara," katanya dalam kenyataan.
Bruce Yee berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyalurkan bantuan awal berupa bakul makanan kepada setiap pintu rumah yang terkesan serta memberi jaminan bahawa bantuan RM10,000 sepintu akan disalurkan dalam masa terdekat bagi pembinaan rumah sementara.
"Untuk makluman, bantuan pembinaan rumah sementara untuk kes hangus sebelum ini ialah RM5000 sepintu," ujarnya.
Selain itu, jelas beliau, JKM turut memaklumkan bahawa bantuan kewangan tambahan akan diberikan kepada setiap isi rumah untuk menampung keperluan asas seperti barang dapur, pakaian dan peralatan rumah.
"Saya juga dimaklumkan oleh mangsa kebakaran bahawa JKM menjanjikan bantuan kewangan sebanyak RM70,000 sepintu untuk mereka membina semula rumah panjang pada masa akan datang," katanya.
Sehubungan itu, Bruce Yee merakamkan penghargaan kepada JKM atas keprihatinan dan komitmen membantu mangsa kebakaran, serta berharap agar semua janji bantuan dapat ditunaikan tanpa kelewatan.
"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada JKM, semua agensi kerajaan, badan NGO dan individu yang menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran.
"KEADILAN Sarawak bersimpati terhadap semua mangsa yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda. Semoga mereka tabah dan dapat bangkit semula secepat mungkin," katanya.
Comments