KEADILAN Sarawak gesa GPS tarik sokongan dari PN


Kenyataan Istana Negara semalam yang membidas tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendahului Yang di-Pertuan Agong dalam memansuhkan Ordinan Darurat sepatutnya menjadi titik nokhtah kepada rakan-rakan politik dalam PN untuk menghentikan kerjasama dengan pentadbiran Perdana Menteri (PM) Tan Sri Mahiaddin Yassin


Sehubungan itu, KEADILAN Sarawak menggesa agar Gabungan Parti Sarawak (GPS) - salah satu sekutu PN - menarik balik sokongan kepada PM Mahiaddin.


Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Sarawak, Abun Sui Anyit, tindakan berkenaan perlu dilakukan agar tidak mencemar maruah GPS dan Kerajaan Negeri Sawarak yang dituduh bersubahat menderhaka kepada Agong.


"Dengan perkembangan terbaharu ini menunjukkan PN telah melakukan perbuatan membelakangkan semangat Perlembagaan Persekutuan atau secara spesifik telah menderhaka kepada titah Tuanku Agong.


"Maka KEADILAN Sarawak menggesa agar GPS untuk menarik balik sokongan kepada Kerajaan PN berkuatkuasa serta merta, jika tidak ingin terpalit atau dilihat bersekongkol dengan perbuatan menderhaka kepada Tuanku YDPA," kata kenyataan tersebut.


Selain itu, Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak, kata Abun, turut menyokong kenyataan Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mencadangkan PM Tan Sri Mahiaddin meletak jawatan dan satu langkah diambil untuk mengangkat Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM baharu.


"KEADILAN Sarawak menyokong penuh kenyataan media Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang mendesak Tan Sri Mahiaddin meletak jawatan segera dan digantikan oleh Datuk Seri Anwar, Presiden Parti Keadilan Rakyat," katanya.


Selain itu, KEADILAN Sarawak juga menyatakan rasa syukur di atas keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda di atas teguran terhadap pentadbiran PM Mahiaddin yang secara semberono melanggar Perlembagaan dan menyalahgunakan kuasa.


"KEADILAN Sarawak sangat bersyukur di atas kebenaran yang dinyatakan di dalam kenyataan media Istana Negara yang sekurang-kurangnya menjernihkan polemik krisis Perlembagaan berkaitan Perkara 150 Perlembagaan


"Kenyataan Media Istana Negara juga telah membuktikan bahawa pihak pembangkang yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar adalah tepat dan di pihak yang benar bahawa Ordinan-Ordinan Darurat yang dikatakan telah dibatalkan pada 21.07.2021 sebelum ini sememangnya belum diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong," katanya lagi.


Semalam, kenyataan media Istana Negara membidas tindakan kabinet PN serta Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan yang mendahului Agong dalam memutuskan serta mengumumkan Ordinan Darurat dimansuhkan pada 21 Julai.


Sedangkan dalam majlis mengadap Agong secara maya pada 24 Julai, Baginda menitahkan agar ordinan tersebut dibawa ke Parlimen untuk proses pengungkaian.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER