
Tindakan 25 ahli KEADILAN Saratok keluar parti tidak sedikit pun menjejaskan sokongan apabila lebih ramai ahli baharu yang menyertai parti berbilang kaum ini.
Malah, Pengerusi KEADILAN Sarawak, Larry Sng berkata beliau tidak terkejut dengan tindakan 25 individu tersebut memandangkan mereka adalah pengikut Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju.
"Sepanjang empat bulan kebelakangan ini, ada kira-kira 200 ahli yang keluar parti dan ada juga yang keahliannya digantung oleh KEADILAN Sarawak.
"Namun, parti juga disertai lebih 800 ahli baharu. Ini menunjukkan KEADILAN Sarawak masih kuat," katanya dipetik.
Ali Biju merupakan salah seorang pengikut Azmin Ali yang menjayakan Langkah Sheraton bagi menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu.
Kerajaan PN kini diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri dan disokong Umno, Pas, MCA, MIC, Parti Bersatu Sabah, STAR dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).