Biro Politik KEADILAN menyambut baik keputusan kerajaan Selangor untuk mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) yang dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, semalam.
Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil, keputusan tersebut tepat dengan agenda perjuangan KEADILAN yang mahu memastikan kelestarian alam sekitar dijaga dengan baik manakala hak-hak penduduk peribumi disempurnakan.
"Biro Politik KEADILAN menyambut baik kenyataan media Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor bahawa Kerajaan Negeri akan memulakan proses mewartakan semula HSKLU, di samping usaha melengkapkan pemberimilikan 104 ekar tanah HSKLU kepada Kampung Orang Asli Busut Baru yang tertangguh sejak 2006.
"Pada masa yang sama, keputusan untuk mengekalkan kawasan gantian berjumlah 1,436 ekar di Sungai Panjang, Ampang Pechah dan Bukit Broga sebagai Hutan Simpan Kekal juga amat dihargai," kata Fahmi.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar yang terbuka menerima pandangan dari pelbagai pihak termasuk pimpinan parti, badan-badan bukan kerajaan, serta orang awam dan membuat keputusan yang tepat memihak kepada suara majoriti rakyat Selangor dalam hal penyahwartaan HSKLU.
Comments