KEADILAN Sabah mulakan gerak kerja awal hadapi PRN-17
- Suara Keadilan
- Jun 30
- 1 min read

KEADILAN negeri Sabah sudah memulakan gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah yang dijangka akan diadakan menjelang hujung tahun ini.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pihaknya kini giat mengadakan aktiviti culaan di 13 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disasarkan.
Aktiviti culaan itu bagi melihat tahap sokongan pengundi dan kekuatan parti di kawasan berkenaan.
"Menerusi aktiviti ini, kita sekurang-kurangnya mendapat gambaran jelas mengenai potensi kita di kawasan tersebut, sekali gus menjadi asas untuk rundingan dengan mana-mana parti yang ingin bekerjasama dengan kita," katanya dipetik dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu pada Ahad.
Menyentuh mengenai rundingan pembahagian kerusi, Mustapha berkata, beberapa siri mesyuarat dan rundingan dengan Barisan Nasional (BN) diadakan bagi memastikan pembahagian kerusi dapat dibuat tanpa pertindihan.
"Niat utama kita ialah untuk mengelakkan pertindihan kerusi dan pergeseran antara parti-parti dalam Kerajaan Madani, kerana keutamaan kami adalah kestabilan politik di negeri dan negara.
"Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan kita menyambut baik perkara itu," tambahnya.
PRN ke-17 dijangka akan diadakan pada bila-bila masa apabila tempoh pentadbiran Kerajaan Sabah dijangka akan berakhir Oktober 2025.
Sementara itu Barisan Nasional (BN) dipetik laporan berita menyatakan hasrat menyertai PRN ke-17 sebagai satu pasukan parti mantap dan kuat.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, BN meneroka kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selain persefahaman dengan parti tempatan Sabah bagi menghadapi PRN berkenaan.
"Kita perlukan kerjasama dengan gabungan atau parti lain kerana UMNO-BN tidak boleh lagi bergerak sendiri. Kita perlukan rakan lain juga untuk menghadapi PRN ini," katanya dipetik.
Comments