KEADILAN Sabah mahu Kerajaan Persekutuan menokhtahkan kemiskinan tegar di negeri itu sesuai dengan tekad Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hal itu dinyatakan Majlis Pimpinan KEADILAN Sabah selepas pertemuan selama satu jam bersama barisan kepimpinan KEADILAN Sabah yang telah membincangkan pelbagai isu terkait pembangunan negeri, keadaan semasa politik negeri dan juga program merancakkan ekonomi rakyat.
"Pertemuan yang dihadiri oleh kesemua barisan kepimpinan Majlis Pimpinan Negeri (MPN), sayap Angkatan Muda dan Wanita telah memberikan tumpuan kepada ikhtiar Kerajaan Madani untuk menoktahkan kemiskinan tegar dan program program kepedulian rakyat sebagai usaha berterusan mensejahterakan rakyat negeri Sabah.
"MPN juga telah mengangkat tiga cadangan khusus untuk tindakan segera YAB Presiden KEADILAN selaku Perdana Menteri Malaysia," kata kenyataan itu.
Tiga cadangan KEADILAN Sabah antaranya menyeru Kerajaan Persekutuan menumpukan program pembasmian kemiskinan supaya ikhtiar menoktahkan kemiskinan tegar di negeri itu segera dilakukan.
Juga memastikan usaha memberikan dokumentasi kepada rakyat dapat dilakukan secara telus melibatkan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan negeri serta agensi
Selain itu, KEADILAN Sabah mencadangkan agar diusahakan kerjasama politik yang lebih erat antara parti-parti komponen perpaduan dalam mempersiapkan negeri Sabah untuk berhadapan dengan pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang supaya keadaan kestabilan politik dapat dikekalkan.
"KEADILAN Sabah komited untuk memastikan bahawa suara rakyat Sabah didengari dan tindakan segera yang efektif dapat diambil untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh warga negeri ini.
"KEADILAN Sabah juga menyambut baik jaminan YAB Presiden yang akan memastikan Sabah akan terus mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan untuk memastikan rakyat dan warga negeri berterusan mendapat manfaat daripada nikmat pembangunan dan perpaduan," kata kenyataan itu lagi.
Untuk rekod, PM dalam lawatan kerja sehari ke Sabah hari ini.
Comments