KEADILAN Sabah jangka bertanding sehingga 12 kerusi DUN
- Suara Keadilan

- Nov 5
- 1 min read

KEADILAN Sabah dijangka memuktamadkan senarai 10 hingga 12 kerusi yang bakal ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah akhir bulan ini.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, Datuk Mustapha Sakmud (gambar) berkata, setakat ini empat kerusi di kawasan pantai timur, manakala lima di pantai barat dan pedalaman sudah dikenal pasti dengan beberapa kerusi lain dalam peringkat perbincangan akhir.
"Setakat ini, empat kerusi di pantai timur (seperti) Gum-Gum, Karamunting, Segama dan Merotai serta lima di pantai barat dan pedalaman Inanam, Petagas, Api-Api, Sindumin dan Melalap telah dikenalpasti sebagai kerusi tumpuan.
"Ada lagi beberapa perbincangan terakhir, kita akan lihatlah perkembangannya nanti, boleh jadi antara 10 hingga 12 kerusi, tapi itupun bergantung kepada perbincangan selanjutnya," katanya dipetik di Jelajah Harapan Urang Sabah di Petagas, Putatan.
Beliau sementara itu memaklumkan, mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN akan diadakan di Kota Kinabalu pada 9 November ini dengan dihadiri Presiden parti merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Mesyuarat itu akan memuktamadkan senarai kerusi yang akan ditandingi KEADILAN di Sabah, dan Insya-Allah pengumuman rasmi akan dibuat oleh Presiden pada malam yang sama," ujarnya.









Comments