KEADILAN Ranting Bukit Kajang Baru memberikan bantuan makanan asas kepada yang memerlukan khusus kepada warga emas di sekitar kawasan Parlimen Bangi.
Ketua Ranting PKR, Bukit Kajang Baru, J.Karen Kasturi berkata bantuan itu disampaikan dengan kerjasama NGO Mesra Malaysia dan Kembara Kitchen Malaysia.
“Saya ke rumah setiap warga emas untuk menghulurkan bantuan ini. Sempat juga saya bertanya khabar dan mengenai pendaftaran vaksin. Saya sentiasa mengingatkan kepentingan pengambilan vaksin kepada masyarakat yang saya berjumpa, khususnya warga emas.
“Ada dikalangan mereka memberitahu mereka ada mohon bantuan makanan asas daripada pihak lain, tetapi, tidak mempunyai kemudahan atau tidak sihat fizikal untuk pergi ambil bantuan tersebut dari lokasi. Mereka sangat gembira bantuan daripada kami disampaikan kepada mereka di rumah mereka,” katanya.
Oleh sebab itu, Kasturi berkata memandangkan kes-kes Covid-19 meningkat secara mendadak di Selangor, bantuan makanan asas kepada keluarga yang sedang berkuarantin di sekitar kawasan Parlimen Bangi akan diteruskan.
“Sama-sama kita bantu-membantu dalam menghadapi cabaran ini dan doakan yang terbaik untuk keluarga dan individu yang sedang berkuarantin,” katanya.
Comments