KEADILAN rangka strategi baharu, himpun seluruh kekuatan
- Suara Keadilan

- 40 minutes ago
- 1 min read

Parti KEADILAN melihat keperluan merangka strategi baharu termasuk melibatkan semula tokoh lama parti itu bagi menghadapi pilihanraya akan datang.
Ketua Penerangan, Datuk Seri Fahmi Fadzil (gambar) berkata perkara susulan hasrat Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghimpunkan semula seluruh kekuatan yang ada.
"Pengerusi PH sebut waktu Kongres KEADILAN di Melaka minggu lalu, bahawa kita perlu berusaha bukan hanya mengambil semula otai-otai, orang-orang lama, tapi juga merangkul seluruh kekuatan.
"Jadi saya lihat ini salah satu strategi yang akan dimanfaatkan," katanya dipetik laporan media.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi ditemui pemberita selepas meninjau sesi latihan grafik manusia di Dataran Putrajaya semalam.
Sementara itu, Fahmi turut mengesahkan pertemuan Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari dengan Perdana Menteri bagi membincangkan isu berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Bagaimanapun menurut Fahmi, beliau tidak dapat mengesahkan intipati pertemuan berkenaan.
"Memang dalam masa sehari dua ini, terdapat banyak perjumpaan dan mesyuarat melibatkan pimpinan tertinggi parti," jelasnya.
Sabtu lepas, Datuk Seri Amirudin memaklumkan akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri yang berkemungkinan membincangkan kerjasama PH dan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.




Comments