KEADILAN Putrajaya lapor polis, kecam himpunan TurunAnwar
- Suara Keadilan

- Jul 16
- 1 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
KEADILAN Cabang Putrajaya membuat laporan polis berhubung satu perhimpunan yang dinamakan “Himpunan Turun Anwar” yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini.
Ketua Penerangan KEADILAN Cabang Putrajaya, Mohd Hafiz Osman berkata, laporan polis dibuat susulan kenyataan disiarkan portal Harakahdaily yang memetik pengumuman Ketua Pemuda Pas Afnan Hamimi Azamudden yang juga Ahli Parlimen Alor Setar mengenai demonstrasi itu.
"Perhimpunan itu dikatakan sebagai manifestasi hilangnya kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Lebih membimbangkan kandungan kenyataan tersebut mengandungi tuduhan berat terhadap institusi kerajaan seperti sistem kehakiman, penjawat awam dan Parlimen," katanya dalam kenyataan.
Mohd Hafiz berkata KEADILAN Cabang Putrajaya memandang serius usaha mengadakan perhimpunan seperti itu yang boleh dilihat sebagai cubaan menghasut rakyat dan menjejaskan keyakinan terhadap kerajaan.
Kata beliau perhimpunan itu juga boleh menggugat ketenteraman awam serta sistem demokrasi berparlimen yang menjadi asas kestabilan negara.
Mohd Hafiz berkata sebarang bentuk perhimpunan yang bersifat provokatif, berunsur hasutan atau bertujuan menjatuhkan kerajaan melalui tekanan jalanan adalah tidak wajar dan boleh dianggap sebagai ancaman terhadap keselamatan negara dan keluhuran Perlembagaan.
Sehubungan itu, kata beliau pihak polis digesa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap perhimpunan ini termasuk kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan di bawah peruntukan undang-undang seperti Seksyen 124B Kanun Keseksaan atau mana-mana peruntukan berkaitan.
"Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia agar tidak terpengaruh dengan sebarang usaha yang mencetuskan ketegangan politik dan gangguan kepada kestabilan negara.
"Demokrasi harus dipertahankan melalui saluran yang sah, beradab dan mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan," kata Mohd Hafiz lagi.









Comments