KEADILAN Pulau Pinang tampil memberi sumbangan berbentuk keperluan asas kepada Penjara Pulau Pinang yang menjadi lokasi penularan wabak COVID-19 yang dikenali sebagai Kluster Penjara Reman di Georgetown.
Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Pulau Pinang, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata bantuan itu dilakukan kerana bimbang penularan wabak dalam penjara itu akan menjangkiti kakitangan lain serta ahli keluarga mereka.
"Situasi kini amat mencemaskan di mana dilaporkan tujuh lagi banduan yang positif COVID-19 seperti disahkan semalam membabitkan Kluster Penjara Reman di Penjara Reman Pulau Pinang tinggal dalam sel yang sama dengan lapan orang yang turut positif sebelum ini.
"Kita juga bimbang akan penularan virus kepada kakitangan warden serta keluarga mereka. Justeru, dalam usaha bersama bagi menangani kemelut penularan, KEADILAN tampil menghulurkan sedikit bantuan secara berfasa buat warga penjara reman Pulau Pinang, beserta petugas warden barisan hadapan," katanya dalam kenyataan.
Antara barang yang disumbangkan adalah tilam dan kipas untuk keselesaan penghuni penjara semasa kuarantin serta makanan dan minuman.
Bakhtiar yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau berharap Penjara Reman Pulau Pinang dapat terus berkhidmat bagi melindungi nyawa penghuni penjara.
"Kami berharap bantuan ini, walau tidak seberapa, mampu memberi semangat, tanda ingatan sesama insan sejajar dengan piagam Jabatan Penjara Malaysia iaitu menyediakan Perkhidmatan Koreksional kepada penghuni penjara, termasuk melindungi nyawa di kala wabak melanda walau menjalani hukuman. Bagi maksud ini, peralatan perlindungan peribadi (PPE) disediakan," katanya.
Pihak yang ingin menyalurkan bantuan kepada Penjara Reman Pulau Pinang bolehlah hubungi pihak KEADILAN Pulau Pinang melalui Zulkiefly Saad di talian +6013-4362848.
Comments