KEADILAN Pontian perkukuh jentera, tingkat motivasi anggota
- Hasbul Ahmad

- 2 hours ago
- 2 min read

KEADILAN Cabang Pontian terus memperkemaskan gerak kerja akar umbi sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka menjadi medan penting menentukan hala tuju politik negeri ini.
Ketua Cabang KEADILAN Pontian, Haniff Hosman berkata fokus utama ketika ini adalah memperkukuh organisasi parti di setiap peringkat, termasuk ranting dan pusat daerah mengundi (PDM) bagi memastikan jentera sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik.
Menurut beliau, KEADILAN Pontian telahpun menggerakkan jentera melalui program menyantuni rakyat dan memperkukuh hubungan dengan pengundi yang dilakukan secara berterusan sepanjang masa.
"Pengalaman lalu mengajar kita bahawa kekuatan sesebuah parti bukan hanya diukur ketika tempoh berkempen tetapi sejauh mana hubungan yang dibina bersama rakyat sebelum pilihanraya berlangsung.
"Justeru, kita sedang memperkemaskan struktur organisasi, memperbanyakkan program turun padang serta meningkatkan latihan kepada petugas parti supaya mereka benar-benar bersedia apabila tiba masanya nanti," katanya kepada Suara Keadilan.
Beliau berkata, semangat anggota parti di Pontian kekal tinggi dan terus menunjukkan komitmen untuk memastikan agenda reformasi serta pembangunan rakyat dapat diteruskan.
Haniff menjelaskan bahawa pengukuhan jentera tidak hanya tertumpu kepada aspek politik semata-mata tetapi turut melibatkan penguasaan media sosial, komunikasi strategik dan keupayaan menyampaikan dasar kerajaan kepada rakyat secara lebih berkesan.
Katanya, landskap politik hari ini menuntut parti bergerak lebih pantas dan kreatif bagi mendepani pelbagai cabaran termasuk penyebaran maklumat tidak tepat yang boleh mengelirukan masyarakat.
"Anak muda kini menjadi kelompok pengundi yang sangat signifikan.
"Sebab itu kita memberi perhatian kepada pendekatan digital, selain terus mengekalkan sentuhan bersemuka melalui program kemasyarakatan dan kebajikan," ujarnya.
Dalam masa sama, beliau yakin rakyat Johor semakin matang dalam membuat penilaian terhadap prestasi kerajaan dan wakil rakyat berdasarkan rekod pencapaian serta kemampuan menyelesaikan masalah rakyat.
Menurutnya, KEADILAN Pontian akan terus membawa pendekatan politik yang sederhana, progresif dan berorientasikan penyelesaian, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan aspek kestabilan, pembangunan dan kebajikan rakyat.
"Kita mahu menawarkan politik yang membina. Rakyat hari ini mahukan penyelesaian kepada isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan dan pembangunan setempat. Itulah yang menjadi fokus kita," ujarnya.
Mengulas mengenai persiapan menghadapi PRN akan datang, Haniff menyeru seluruh anggota parti supaya terus memperkukuh perpaduan dan bekerjasama sebagai satu pasukan bagi memastikan KEADILAN serta Pakatan Harapan berada dalam kedudukan terbaik apabila rakyat diberi mandat untuk membuat pilihan kelak.
"Pilihanraya bukan sekadar soal pertandingan politik. Ia adalah peluang untuk kita membuktikan kesungguhan dalam memperjuangkan kepentingan rakyat. Sebab itu setiap anggota perlu memainkan peranan masing-masing mulai sekarang," katanya.
Haniff yang terus mendapat kepercayaan anggota parti untuk memimpin Cabang Pontian selepas pemilihan parti baru-baru ini menegaskan bahawa KEADILAN Pontian akan terus bekerja keras dan kekal dekat dengan rakyat sebagai asas utama menghadapi sebarang kemungkinan menjelang PRN Johor akan datang.




Comments