KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) Pulai membuat laporan polis terhadap tindakan Menteri Undang-undang Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang didakwa memperlecehkan titah Yang di-Pertuan Agong untuk membuka sidang Parlimen sesegera mungkin.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pulai, Faezuddin Puad, satu laporan dibuat di Balai Polis Skudai berhubung kenyataan Takiyuddin berkenaan.
"Saya bersama pimpinan KEADILAN dan PH Pulai membuat satu laporan di Balai Polis Skudai berkenaan kenyataan Datuk Seri Takiyuddin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), yang bersifat derhaka terhadap Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-raja yang menitahkan agar sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.
"Sikap melengah dan cubaan untuk menunda sidang Parlimen yang ditonjolkan oleh Takiyuddin dalam wawancara Harakah jelas mempersendakan titahAgong dan Majlis Raja-raja tersebut.
"(Dalam program itu) beliau menyatakan: "YDPA tidak titah bulan berapa untuk buka sidang Parlimen, PM sudah nyatakan akan buka Parlimen pada September dengan diikuti gelak sinis"," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, KEADILAN dan PH Pulai menuntut agar siasatan segera dilakukan dan tindakan diambil sekiranya wujud pelanggaran undang-undang
"Kami menggesa pihak polis menyiasat dan mengenakan tindakan tegas terhadap isu ini kerana melanggar Perlembagaan Persekutuan Bahagian IV Persekutuan, Bab 2, Majlis Raja-Raja Perkara 38 serta beliau boleh dicaj di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya lagi.
Comments