top of page

KEADILAN pernah diuji lebih berat, namun terus bangkit lebih perkasa

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan terus teguh dan tidak goyah menghadapi ujian terbaharu apabila bekas orang nombor dua menubuhkan parti baharu.


Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (gambar), berkata perjalanan KEADILAN sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 membuktikan parti itu bukan organisasi yang mudah tumbang, sebaliknya terus bangkit dengan sokongan rakyat.


"Masa PRU 1999 saya (sebagai calon) tewas di (parlimen) Pandan dengan hanya memperoleh 13,333 undi, kalah sekitar 1,800 undi. Itu perkara biasa ketika itu," ujarnya berucap dalam Himpunan SETIA KEADILAN P100 Pandan malam tadi.


Kata Abdullah Sani, perjuangan tidak mengenal penat lelah itu akhirnya telah membuahkan hasil apabila KEADILAN bersama gabungan pembangkang menawan Selangor pada PRU ke 12.


"Tetapi akhirnya selepas 10 tahun berlalu kita dapat menawan selangor pada 2008," ujarnya.


Namun, katanya, parti dalam dua dekad telah berdepan episod pengkhianatan melibatkan beberapa pimpinan terdahulu yang keluar parti, termasuk Dr Chandra Muzaffar (Timbalan Presiden) dan Datuk Ezam Mohd Noor (bekas Ketua Angkatan Muda).


Selain itu, Abdullah Sani mengimbau krisis paling besar yang melanda KEADILAN pada 2020 dikenali sebagai Langkah Sheraton yang menyaksikan beberapa pemimpin kanan meninggalkan parti.


"Lepas itu langkah khianat yang dipanggil "Langkah Syaitan" pada 2020, Timbalan Presiden ketika itu, Naib Naib Presiden, Ketua Wanita, Timbalan AMK (keluar parti). Waktu itu orang kata habislah KEADILAN.


"Bila Langkah Syaitan dimulakan kita dalam keadaan yang penuh keluh kesah, ketika itu ada yang mengatakan Datuk Seri (Anwar) perlu dua penggal (lagi) baru boleh jadi PM.


"Ketika parti diuji pada 2020 adakah kita berpecah? Kita tidak berpecah. Masih kuat, masih utuh. Kita berjuang dan akhirnya pada 2022 Anwar dinobatkan jadi PM," ujarnya.


Dalam pada itu, Abdullah Sani menegaskan KEADILAN juga berjaya mempertahankan Selangor meskipun berdepan pelbagai serangan propaganda termasuk naratif “gelombang hijau” pada Pilihan Raya Negeri 2023.


Beliau turut menegaskan keluar masuk ahli merupakan lumrah dalam perjuangan politik dan hal itu tidak harus melemahkan semangat parti.


"Hari ini hilang satu, sepuluh datang; hilang sepuluh, seratus datang. Ini adalah perjuangan."


Abdullah Sani mengingatkan bahawa KEADILAN ditubuhkan melalui perjuangan penuh pengorbanan, air mata dan darah oleh itu ia tidak mudah digugat.


"Parti ini parti keramat, ditubuhkan dengan gas pemedih mata, dikejar FRU. Ini semua sejarah. Adakah kita akan gundah gulana? Tidak," katanya disambut seruan lantang dari kira kira 500 khalayak yang memenuhi dewan berkenaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page