
KEADILAN tidak bertolak ansur dengan unsur-unsur yang membelakangkan kerajaan mandat rakyat serta meruntuhkan setiakawan Pakatan Harapan dan Warisan yang terjalin sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke 14.

Sehubungan itu, Pengerusi Lembaga Disiplin KEADILAN Datuk Ahmad Kasim (gambar, kanan) dalam satu kenyataan menegaskan parti telah mengambil keputusan memecat ADUN Inanam, Kenny Chua kerana didapati turut serta bersama kumpulan Musa Aman yang cuba menggulingkan Ketua Menteri Shafie Apdal semalam.
"Lembaga Disiplin mengambil maklum keadaan politik di Sabah di mana semalam pihak media merakam gambar kehadiran Kenny Chua Teck Ho bersama kumpulan Musa Aman yang berniat menjatuhkan Kerajaan Negeri Sabah.
"Setelah menerima pengesahan dari Majlis Pimpinan Negeri Sabah tentang keberadaan beliau di dalam blok yang berusaha menjatuhkan Kerajaan Negeri Sabah, dan mengambil kira pendirian KEADILAN bahawa pengkhianatan terhadap mandat rakyat tidak boleh dibenarkan maka Lembaga Disiplin mengumumkan bahawa Kenny Chua Teck Ho dipecat dari KEADILAN berkuatkuasa serta-merta," katanya.
Untuk rekod, Kenny Chua merupakan pembantu Menteri Kewangan Sabah di bawah kabinet Shafie Apdal. Dalam KEADILAN Sabah beliau merupakan Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri .
Comments