KEADILAN mesti perjuang tatakelola, kaji lantikan ahli politik dalam badan berkanun
- Helmi Mohd Foad

- 1 day ago
- 3 min read

KEADILAN perlu terus memperjuangkan agenda tatakelola dan tadbir urus yang baik termasuk menilai semula pelantikan ahli politik sebagai anggota lembaga pengarah badan berkanun khususnya institusi sensitif seperti Lembaga Tabung Haji (TH).
Senator Dr Jufitri Joha (gambar) berkata dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH perlu dijadikan iktibar bukan sahaja untuk melihat kelemahan pentadbiran terdahulu malah memastikan kesilapan sama tidak berulang ketika Kerajaan MADANI mentadbir negara.
Menurut beliau, menjadi anggota lembaga bukan sekadar menerima elaun atau manfaat sebaliknya membawa tanggungjawab besar termasuk membaca dan menyemak dokumen, mempersoalkan keputusan serta memastikan setiap tindakan pengurusan mematuhi prinsip tatakelola yang baik.
"Kita bukan sahaja nak menerangkan, kita nak mencari jalan penyelesaian. Kita sama juga nak mengambil pengajaran bagi kita supaya tidak mengalami kesilapan yang sama.
"Jadi kita kena jadikan ini sebagai sempadan, sebagai pengajaran supaya perjuangan kita masih lagi kekal berdasarkan tatakelola yang baik," katanya.
Beliau berkata demikian pada program sesi bedah siasat Laporan RCI TH anjuran Wanita KEADILAN di Bangi malam tadi.
Program itu turut menampilkan Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin dan Siti Aishah Shaik Ismail sebagai panel.
Hadir sama Ketua Wanita KEADILAN Fadhlina Sidek yang juga Menteri Pendidikan.
Mengulas isu pelantikan politik, Jufitri berkata beliau secara prinsip tidak menolak sepenuhnya pelantikan ahli politik dalam badan atau agensi kerajaan kerana terdapat pemimpin politik yang mempunyai kredibiliti, kemampuan dan integriti untuk menyumbang kepada pentadbiran negara.
Bagaimanapun katanya, pendekatan berbeza perlu diambil bagi institusi sensitif seperti TH dengan mengambil kira syor RCI supaya anggota lembaganya bebas daripada pelantikan politik.
"Bagi pandangan saya sebelum ini, saya setuju dengan pelantikan ahli politik tapi mungkin di agensi-agensi ataupun pada keadaan sebegini yang sensitif, bagi saya, saya setuju tidak perlu ada satu pun orang politik.
"Dalam RCI ini jelas mencadangkan supaya tidak ada penglibatan ahli politik sama sekali dalam ahli lembaga Tabung Haji," katanya.
Jufitri berkata perkara itu perlu dibincangkan semula termasuk memformulasikan komposisi pelantikan ahli politik dalam badan berkanun dan institusi lain bagi memastikan mereka yang dilantik benar-benar mempunyai kelayakan serta mampu memainkan peranan.
Katanya, antara perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah pindaan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) termasuk memperincikan kriteria pelantikan anggota lembaga dengan memberi keutamaan kepada golongan profesional, agamawan dan ahli akademik yang mampu menyumbang secara proaktif kepada TH.
Beliau berkata KEADILAN perlu terus mendesak pembaharuan undang-undang yang menjurus kepada tatakelola baik termasuk mewujudkan sebuah jawatankuasa pelantikan yang boleh membantu Perdana Menteri dan menteri memilih anggota lembaga yang profesional serta berkelayakan.
"Kita mesti terus memperjuangkan apa-apa akta ataupun undang-undang yang menjurus kepada tatakelola yang baik termasuklah Akta 535 ini yang antara lain dicadangkan supaya pelantikan ahli lembaga, satunya tidak ada ahli politik.
"Kemudian diwujudkan satu jawatankuasa seperti suruhanjaya pelantikan yang boleh memandu Perdana Menteri, menteri-menteri untuk melantik ahli lembaga yang profesional dan berkelayakan untuk mentadbir urus serta memantau perjalanan Tabung Haji," katanya.
Jufitri turut menegaskan anggota lembaga perlu memainkan fungsi semak dan imbang dengan serius kerana mereka bertanggungjawab terhadap keputusan institusi dan bukan sekadar menyerahkan urusan sepenuhnya kepada pihak pengurusan.
Menurut beliau anggota lembaga perlu meneliti, membuat semakan silang dan mempersoalkan sesuatu cadangan sebelum keputusan dibuat, terutama apabila ia membabitkan wang serta kepentingan pendeposit TH.
Beliau turut menyokong syor audit forensik terhadap 14 pelaburan yang tidak menguntungkan selain berpandangan pelaksanaan syor RCI perlu terus dipantau bagi memastikan pembaharuan yang dicadangkan benar-benar diterjemahkan dalam pentadbiran TH.
Jufitri berkata pada akhirnya RCI bukan sekadar mengenai mencari pihak yang melakukan kesalahan tetapi perlu menjadi asas kepada pemulihan tatakelola, tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanggungjawab serta pengajaran kepada pemimpin hari ini.
"Yang pertama adalah untuk memulihkan tadbir urus yang kita akan terus pantau dan terus perjuangkan. Yang keduanya, kita nak lihat orang yang bersalah akan dihadapkan ke muka pengadilan.
"Bukan sahaja ikan-ikan bilis... semua kita hadapkan ke mahkamah. Selepas itu yang kita jangan lupa, kita ambil iktibar untuk diri sebagai ahli parti, sebagai ahli lembaga, kita ambil nilai-nilai yang baik dan jalankan yang baik," katanya.




Comments