KEADILAN Maran bantu perkasa pendidikan Islam akar umbi
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 1 min read

Dalam usaha memperkukuh pendidikan Islam di peringkat akar umbi di bawah Kerajaan Madani, KEADILAN Cabang Maran mengambil langkah strategik dengan bekerjasama membantu Sekolah Agama Rakyat (SAR) KAFA di daerah ini.
Untuk itu Timbalan Ketua KEADILAN Maran, Halias Abdul Aziz, hadir menaja sumbangan sempena Hari Kecemerlangan SAR KAFA An-Nur Taman Sri Chedung. Beliau, yang turut mempunyai anak bersekolah di institusi tersebut, menzahirkan harapan agar pendidikan Islam terus diperkasakan.
Halias turut menyatakan keyakinannya bahawa pendidikan Islam akan terus dimartabatkan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Majlis perasmian hari kecemerlangan itu disempurnakan oleh Timbalan Kadi Pejabat Agama Islam Daerah Maran, AF Ustaz Wan Muhamad Nasrullah.
Dalam ucapannya, beliau mengingatkan ibu bapa agar terus komited menyediakan asas pendidikan Islam yang kukuh kepada anak-anak, terutama dalam menghadapi cabaran era digital.
"Ibu bapa perlu terus berusaha menyediakan pendidikan Islam dan menanam nilai cinta kepada al-Quran untuk anak-anak agar pembentukan generasi rabbani yang soleh dan musleh dapat dicapai berhadapan cabaran dunia digital hari ini," katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya asas kefahaman Islam dan pemantapan akidah diteruskan hingga peringkat sekolah menengah.
Seramai 75 murid bersama ibu bapa hadir memeriahkan majlis yang berlangsung di Dewan Jabatan Agama Islam Daerah Maran.
Turut hadir ialah Naib Ketua Cabang KEADILAN Maran, Mohd Afandi Abdul Rani — mantan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang; Pengerusi SAR KAFA An-Nur, Mohd Asrul Hafis; serta Guru Besar, Siti Zuridah Awang.
Majlis ini mencerminkan komitmen berterusan masyarakat, agensi agama dan KEADILAN Maran dalam memajukan pendidikan Islam yang berkualiti dan relevan dengan cabaran semasa.





