KEADILAN Maran anjur taklimat Rumah Mesra Rakyat, bantu B40 miliki rumah
- Suara Keadilan

- Oct 15, 2025
- 2 min read

Selaras dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam merealisasikan inisiatif Kerajaan Madani bagi membantu rakyat, khususnya kumpulan B40 memiliki rumah sendiri, KEADILAN Cabang Maran telah menganjurkan program taklimat Rumah Mesra Rakyat (RMR) dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Negeri Pahang.
Program tersebut diadakan di Balairaya Kampung Senggora, Maran dan digerakkan dengan inisiatif bersama Pengarah Strategi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Pahang, Fakhrul Anuar Zulkawi.
Menurut Pengarah Program, Halias Abdul Aziz, yang juga Timbalan Ketua Cabang (TKC) KEADILAN Maran, program berkenaan bertujuan memberi penerangan menyeluruh kepada penduduk mengenai proses permohonan dan kelayakan memiliki rumah menerusi skim RMR yang disediakan kerajaan.
"Program ini bertujuan untuk menyampaikan siri penerangan yang lengkap tentang permohonan pemilikan rumah sendiri menerusi program Rumah Mesra Rakyat kepada warga komuniti daerah Maran yang disediakan oleh kerajaan untuk kesejahteraan rakyat," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pendekatan penerangan di peringkat akar umbi penting bagi memastikan lebih ramai rakyat yang layak memanfaatkan skim berkenaan.
"Menerusi kaedah penerangan ke akar umbi ini, diharapkan lebih ramai rakyat di daerah ini yang layak untuk menyertai program RMR ini," jelasnya sambil menambah bahawa sasaran program adalah bagi mereka berumur 18 tahun ke atas dan memiliki tanah sekurang-kurangnya 3,000 kaki persegi sama ada atas nama sendiri atau dengan kebenaran tuan tanah.
Seramai lebih 100 penduduk hadir ke siri pertama taklimat tersebut.
Sementara itu, Pengurus SPNB Cawangan Negeri Pahang, Azizul Hadi Saad, yang turut hadir dan menyampaikan taklimat menjelaskan bahawa permohonan RMR tertinggi ketika ini diterima dari negeri Terengganu dan Kelantan.
"Oleh itu, taklimat seperti ini perlu disebarluaskan di negeri Pahang bagi memastikan mereka yang layak boleh memohon inisiatif RMR ini," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa sehingga kini, program RMR telah memberi manfaat kepada sekitar 500 pemohon di seluruh negeri Pahang pada tahun ini.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Naib Ketua Cabang (NKC) KEADILAN Maran, Afandi Abdul Rani, yang sebelum ini pernah menjawat jawatan Ketua Timbalan Pegawai Daerah (CADO) Maran, bersama barisan kepimpinan KEADILAN Maran di peringkat cabang dan ranting.









Comments