
KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) mampu menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 sekiranya memanfaatkan peluang daripada skandal dan kebobrokan yang berlaku di dalam kerajaan BN - PN.
Bagi Timbalan Pengarah Komunikasi KEADILAN Malaysia, Danish Hairudin, KEADILAN telah melalui beberapa fasa yang sukar sejak pengkhianatan Langkah Sheraton pada ketika rakyat benar-benar mengharapkan prestasi PH berada di tahap yang tertinggi untuk membantu mereka.
Oleh itu, katanya, KEADILAN perlu datang dengan idea baharu dalam PRU kali ini, terutama kepada anak muda Undi 18 dan Undi 21 yang mewakili 5 juta daripada pengundi berdaftar.
"KEADILAN harus datang dengan idea-idea untuk mencipta peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat
"Dasar-dasar yang bakal membantu rakyat seharusnya menjadi teras utama para pimpinan dan anggota di peringkat akar umbi. Kita harus memiliki pendirian yang jelas tentang isu-isu berkaitan rakyat.
"Kita harus konsisten bercakap isu-isu yang penting terhadap rakyat, termasuklah isu kebajikan dan kepentingan negara," katanya.
Selain itu, kata Danish, isu skandal korupsi masih menjadi isu panas ketika ini seperti pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia.
Bagaimanapun, katanya, anggota KEADILAN tidak boleh terleka dengan siri pendedahan skandal semata mata untuk mendapatkan undi rakyat.
Katanya, rakyat juga mahu tahu apakah solusi yang PH akan lakukan sekiranya mereka diberi peluang sekali lagi ke Putrajaya.
"Tugas utama kita adalah menyelesaikan masalah rakyat atau memberi solusi kepada masalah mereka, terutamanya untuk meningkatkan taraf kehidupan dalam mendepani krisis kos sara hidup.
"Sayap utama parti seperti Angkatan Muda KEADILAN dan Wanita KEADILAN perlu berperanan sebagai nadi kepada usaha pengkaderan dengan mendekati golongan muda bagi membentuk satu gerakan massa yang progresif dan berdaya tahan.
"Sudah pasti Undi 18 akan menjadi salah satu faktor penentu kemenangan KEADILAN dan PH dalam PRU akan datang," katanya.
Danish juga menasihatkan agar anggota di peringkat Cabang dan Ranting agar segera move on daripada isu pengkhianatan Langkah Sheraton dan tidak membincangkannya lagi menjelang PRU
Katanya, krisis seperti itu sekiranya digunakan sebaiknya boleh mencipta kekuatan baharu untuk mendepani pilihan raya dengan tidak lagi membawa beban masalah perpecahan parti.
"Kita sering melihat krisis sebagai satu masalah, sebagai satu kelemahan. Saya menyeru kepada pimpinan KEADILAN untuk menerima krisis dalam konteks yang lebih positif. KEADILAN perlu melihat ia sebagai satu peluang. Kita boleh memperbaiki dan bergerak ke hadapan.
"Krisis boleh menjadi peluang untuk kita melakukan muhasabah, menilai kekuatan mental dan spiritual anggota parti, menguji kesetiaan pimpinan dan anggota terhadap kepatuhan kepada prinsip dan semangat setiakawan serta penapisan untuk menjamin kualiti anggota parti.
"Kita perlu belajar daripada krisis. Iktibar daripada krisis akan menjadikan kita lebih kuat untuk mengurus krisis di masa hadapan.
"Saya yakin dan percaya, dalam tempoh 4 tahun yang penuh mencabar ini kita semua telah banyak belajar daripada kesilapan dan kekurangan lalu," katanya lagi.
Tambah beliau, KEADILAN akan menjadi lebih kuat sekiranya bijak menguruskan krisis, termasuklah ketika membuat keputusan dan menetapkan strategi untuk masuk PRU 15.