KEADILAN mampu bangkit: Besarkan kelas menengah Melayu, AMK buat culaan sokongan
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 4 min read

Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pusat, Nabil Halimi, menyeru kepimpinan dan anggota parti supaya tidak terperangkap dengan kejayaan berada dalam kerajaan, sebaliknya terus turun ke akar umbi bagi memahami denyut nadi rakyat.
Beliau berkata, persoalan utama bukan berapa ramai pemimpin KEADILAN yang kini memegang jawatan dalam kerajaan, tetapi sejauh mana mereka masih mendekati rakyat dan memahami masalah yang dihadapi.
"Hari ini ramai pimpinan kita berada dalam kerajaan. Ada Menteri, wakil rakyat, pegawai kerajaan dan termasuk saya sendiri diberi ruang sebagai Ahli Majlis.
"Tetapi persoalannya bukan berapa ramai daripada kita sudah naik ke atas. Persoalannya, berapa ramai yang masih turun ke bawah untuk fahami denyut nadi rakyat?" tanyanya dalam ucapan penggulungan sempena Kongres AMK 2026 di MITC, Melaka.
Menurut Nabil, anggota parti perlu kembali turun ke kampung, rumah pangsa, universiti dan komuniti anak muda secara berterusan, bukan hanya ketika pilihanraya.
Beliau turut menyambut baik penegasan Ketua AMK Pusat, Muhammad Kamil Abdul Munim, bahawa politik bukan soal populariti, sebaliknya keberanian melakukan perkara yang benar walaupun tidak popular.
"Kita juga jangan hilang harapan. KEADILAN lahir sebagai parti derita di jalanan.
"Kita pernah tinggal satu kerusi Parlimen pada 2004. Kita bangkit pada 2008," katanya mengulangi sejarah kemenangan lima negeri oleh Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum 2008.
Nabil berkata KEADILAN pernah melalui pelbagai episod kejatuhan sebelum kembali bangkit, termasuk selepas Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan kali kedua pada 2015 dan selepas kejatuhan kerajaan susulan Langkah Sheraton.
"Di Johor (2022) kita tinggal satu kerusi, di Melaka kita tidak menang satu pun. Orang kata KEADILAN sudah habis.
"Tetapi pada PRU15, Pakatan Harapan kembali mendapat kerusi terbanyak dan akhirnya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri," katanya.
Dalam pada itu, Nabil menolak tanggapan bahawa rakyat tidak matang hanya kerana memilih parti berdasarkan sentimen politik tertentu.
"Ada yang kata rakyat memilih politik identiti. Rakyat tidak matang. Rakyat lebih suka sentimen daripada prestasi.
"Saya tidak setuju. Jangan kita bodohkan rakyat hanya kerana mereka tidak memilih kita. Kalau kita berbuat begitu, apa beza kita dengan keangkuhan UMNO dahulu?" soalnya.
Beliau berkata rakyat sendiri pernah menunjukkan keberanian menukar kerajaan dan membuka ruang untuk pelbagai isu berkaitan tadbir urus serta penyelewengan institusi negara dipersoalkan.
Menurutnya, perjuangan KEADILAN juga tidak seharusnya melihat keadilan berdasarkan kaum kerana setiap rakyat mempunyai hak untuk mendapat pembelaan.
"Seorang Melayu tidak perlu menjadi kurang Melayu untuk duduk bersama seorang Cina. Seorang Cina tidak perlu menjadi kurang Cina. Seorang India tidak perlu meninggalkan identitinya," katanya.
Katanya, apabila membicarakan kemiskinan dan keadilan, perjuangan parti tidak seharusnya membezakan rakyat berdasarkan kaum.
Nabil berkata pendekatan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar turut menunjukkan usaha memperkukuh kedudukan Bumiputera dan kepentingan Islam, termasuk melalui PuTERA35, peruntukan projek kontraktor kecil serta pengukuhan pendidikan Bahasa Melayu.
Beliau berkata kerajaan juga memperuntukkan RM2 bilion bagi hal ehwal Islam melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), selain RM150 juta untuk sekolah pondok, tahfiz dan sekolah agama rakyat serta penambahan 1,500 guru KAFA.
Dalam aspek reformasi institusi, Nabil berkata beberapa agenda telah berjalan termasuk Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035, Rancangan Malaysia Ke-13, Akta Perolehan Kerajaan, Akta Parlimen dan Akta Pengurusan Fiskal.
Bagaimanapun, beliau menggesa kerajaan mempercepatkan beberapa agenda reformasi yang masih dinantikan rakyat.
"Dalam baki mandat ini, segerakan Reformasi yang rakyat masih tunggu.
"Sempurnakan pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya. Tempoh Perdana Menteri dua penggal. Akta Pendanaan Politik. Dan beranilah melakukan reformasi besar terhadap AUKU," katanya.
Nabil turut menegaskan AMK perlu memainkan peranan aktif dalam memastikan agenda reformasi dilaksanakan.
"Angkatan Muda tidak boleh sekadar menjadi pemerhati. Kita mesti menjadi penggerak yang mendesak, mengawal dan memastikan agenda reformasi ini benar-benar dilaksanakan," katanya.
Besarkan kelas menengah Malaysia
Dalam isu ekonomi, Nabil mengakui keadaan ekonomi negara menunjukkan perkembangan positif, namun cabaran utama adalah memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi benar-benar dirasai rakyat.
"Bagaimana angka ekonomi yang baik di Putrajaya boleh sampai ke dapur mak cik-mak cik, poket pekerja dan kaunter peniaga kecil?
"Mereka tidak miskin. Tetapi selepas bayar rumah, kereta, taska, pendidikan anak dan makanan, mereka tidak lagi merasa seperti kelas menengah.
"Sebab itu misi ekonomi kita seterusnya mesti jelas: besarkan semula kelas menengah Malaysia," katanya.
Beliau turut mencadangkan pengkelasan baharu rakyat supaya kedudukan ekonomi isi rumah tidak dinilai hanya berdasarkan pendapatan kasar.
Katanya, dua keluarga yang memperoleh pendapatan RM7,000 sebulan boleh mempunyai beban kehidupan yang sangat berbeza bergantung kepada jumlah anak, lokasi kediaman, kos sewa, taska serta tanggungan menjaga ibu bapa.
Mengenai pelaksanaan E-Invois dan sistem percukaian, Nabil menegaskan langkah memodenkan ekonomi perlu mengambil kira kemampuan peniaga kecil.
"E-Invois dan sistem percukaian memang penting untuk memodenkan ekonomi, tetapi pelaksanaannya mesti mengambil kira kemampuan peniaga kecil.
"Kerana ekonomi manusiawi bukan sekadar membina sistem yang lebih maju, tetapi memastikan rakyat mampu bergerak bersama dengannya," katanya.
Beliau turut menggesa supaya pelaksanaan E-Invois dipermudah dan ruang penambahbaikan dikaji, selain mengubah pendekatan bantuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
"Banyak dasar PMKS sebelum ini terlalu tertumpu kepada pinjaman; usahawan bukan hanya perlukan modal, mereka perlukan pasaran.
"Buka lebih banyak perolehan kerajaan dan GLC kepada PMKS. Perluaskan polisi gaji progresif sebelum ini dan beri insentif kepada syarikat yang melatih pekerja, meningkatkan produktiviti dan menaikkan gaji," katanya.
AMK perlu turun rumah ke rumah
Nabil juga menyeru setiap cabang AMK mengemaskan jentera dan melaksanakan kerja lapangan secara lebih tersusun selepas kongres.
"Selepas kongres ini di samping mengangkat dan mendukung agenda yang digagaskan dalam ucapan dasar saudara Kamil, setiap cabang AMK mengemaskini jentera.
"Buat culaan, masuk rumah ke rumah. Kenal pasti siapa anak muda di kawasan, apa masalah mereka, apa yang mereka perlukan dan apa yang kita boleh perjuangkan untuk mereka," katanya.
Beliau berkata pendekatan tersebut perlu menjadi asas kepada usaha mengembalikan KEADILAN sebagai parti yang dipercayai dan menjadi wadah harapan rakyat.
"Pulanglah dengan tekad untuk menjadikan KEADILAN sekali lagi parti harapan rakyat, parti masa depan anak muda, dan parti untuk seluruh rakyat Malaysia.
"Kita pernah dikatakan sudah mati. Tetapi kita sentiasa bangkit. Kita bangkit demi masa depan KEADILAN dan masa depan Malaysia," katanya.




Comments