Perbezaan parti KEADILAN dan lain lain parti di negara ini kerana tidak hanya mengutamakan politik tetapi juga menyentuh kehidupan harian setiap anggota.
Hal itu dinyatakan oleh Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli.
"Parti ini lebih besar daripada politik semata mata.
"Ini adalah keluarga kita selama 25 tahun yang lepas," katanya dalam ucapan sempena ulang tahun ke 25 KEADILAN di IDCC, Shah Alam, pagi ini.
Menurut Rafizi, KEADILAN selama dua dekad begitu banyak memberi kesan kepada kehidupannya kerana pimpinan parti tersebut juga banyak memberi nasihat, termasuk ketika beliau membuat keputusan untuk berumahtangga.
Begitu juga, katanya, beliau lebih mendengar nasihat doktor anggota parti untuk penjagaan kesihatannya. Dan beliau yakin banyak anggota parti juga sama sepertinya yang menganggap rakan rakan anggota seumpama keluarga sendiri.
"Saya selalu ditanya semasa kita berada di bawah. Semasa reformasi, ketika ada pencapaian baik, juga semasa berdepan dengan katak katak melompat 2009 - 2010, kemudian Datuk Seri Anwar masuk penjara 2015, kemudian perpecahan dalam parti.
"Satu soalan yang selalu ditanya oleh sahabat profesional saya, apa yang kamu dapat? Kenapa masih berada dalam parti, dalam keadaan parti tak pernah nampak ada harapan
"Saya yakin sebahagian besar kita, motivasi terbesar kita kekal dalam parti kerana dalam parti ini adalah kawan kawan kita.
"Untuk kita tinggalkan kawan kawan tak sampai hati. Kehidupan kita juga banyak dipengaruhi parti," katanya lagi.
Comments