PRN: KEADILAN lancar Selda, program pembangunan tanah pertanian moden Sarawak



KEADILAN Sarawak bakal melancarkan rancangan pembangunan tanah seperti Felda di Semenanjung sekiranya diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.


Menurut Setiausaha KEADILAN Sarawak, Joshua Jabeng, parti itu menamakan rancangan berkenaan sebagai ‘Pembangunan Pertanian Moden Luar Bandar (Selda)’


Katanya, Selda akan berpaksikan Rancangan Pertanian Komuniti moden dengan memanfaatkan tanah yang amat luas dan subur berasaskan Lapan Fokus Utama.


"Antara inisiatif utama program Selda adalah penyediaan ‘tanah untuk mereka yang tiada tanah’.


"Setiap keluarga peserta yang dipanggil Pemaju dalam Rancangan Selda akan diagihkan 5 hektar tanah untuk dimajukan dengan pertanian komersial dalam tempoh masa 15 tahun. Penyertaan adalah sukarela dan tertakluk kepada syarat tertentu. Setiap Keluarga Pemaju yang berjaya memajukan tanah akan diberi sijil pemilikan sah ke atas tanah tersebut.


"Selda juga berdasarkan Reformasi Strategi Pertanian dengan tumpuan khusus kepada pertanian komersial. Keluarga Pemaju bertanggungjawab untuk menanam dan mengeluarkan hasil makanan kegunaan tempatan manakala hasil yang surplus akan diekspot ke luar negeri.


"Modal Kewangan untuk memajukan Selda berupa pinjaman khas daripada Perbendaharaan Negeri dan akan dibayar balik oleh keluarga Pemaju secara beransur setiap bulan mulai daripada tahun ke-2," katanya dalam satu kenyataan.

Joshua Jabeng

Rancangan pembangunan tanah itu juga, kata Joshua, diharap akan membendung penghijrahan ke bandar atau ke Semenanjung


Selain itu, Selda juga akan menyediakan segala infrastruktur asas termasuk jalan raya, bekalan elektrik, bekalan air bersih, talian internet, sekolah, klinik, balai raya, rumah ibadat dan pusat khidmat Selda.


"Selda akan mewujudkan pekerjaan kepada rakyat Sarawak tanpa meninggalkan kampung halaman. Dengan sendirinya keperluan untuk berhijrah ke bandar akan berkurangan.


"Golongan muda dan lepasan sekolah boleh mengusahakan ladang atau memulakan pelbagai usaha Perusahaan Kecil dan Sederhana tanpa meninggalkan kampung halaman. Ini amat bermakna untuk mengurangkan kadar pengangguran terutama sekali selepas bencana wabak Covid-19.


"Mereka yang layak boleh memanfaatkan pinjaman micro-kredit yang akan ditawarkan oleh Selda untuk membuka perusahaan sendiri seperti memproses hasil pertanian dan sebagainya," katanya.


Tambah Joshua, pemeliharaan alam sekitar melalui aktiviti pertanian berkelompok itu juga akan menjana sektor pelancongan.


"Pertanian yang terurus akan menimbulkan suasana hijau dan segar. Kemunculan bandar bandar kecil yang berudara bersih dengan pelbagai kemudahan moden akan menjadi daya tarik pelancong.


"Hotel dan home-stay yang disertai dengan sambutan budaya berwarna warni dengan sajian pelbagai makanan tradisional tentu akan menjadi daya penarik yang hebat," katanya lagi.

0 comments