KEADILAN Kulai tuntut Pas ambil tindakan tatatertib terhadap Fadhli Shaari
- Suara Keadilan

- Jul 31
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
KEADILAN Kulai mengecam sekeras-kerasnya tindakan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari memuat naik sebuah karikatur politik menyamakan Perdana Menteri Malaysia dan pemimpin luar negara dengan haiwan di laman Facebook beliau baru-baru ini.
Ketua Penerangannya menegaskan, tindakan Ahli Parlimen Pasir Mas itu biadab, tidak bertanggungjawab dan dianggap sabotaj mencemarkan dan menghina imej negara.
"Kartun tersebut bukan sekadar sindiran politik. Ia adalah penghinaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan martabat Malaysia di pentas antarabangsa sebagai Pengerusi ASEAN,
"Dalam konteks diplomatik dan antarabangsa, imej pemimpin negara membawa lambang maruah rakyat dan negara di mata dunia," tegas Kiran Raj Sathivel (gambar kiri) dalam kenyataan.
Menerusi kenyataan tersebut Kiran Raj turut menegaskan tindakan pemimpin Pas itu bukan sahaja mencerminkan keangkuhan politik yang dangkal, malah memalukan institusi Parlimen yang diwakilinya.
Justeru beliau menuntut Pas membuktikan semangat patriotik kepada negara dengan mengambil tindakan tatatertib dalaman terhadap Fadhli Shaari
Fadhli juga tegasnya perlu membuat permohonan maaf terbuka kepada rakyat Malaysia, Perdana Menteri dan negara-negara ASEAN yang terlibat dalam rundingan damai konflik tersebut.
"Malaysia layak dihormati, bukan dijadikan bahan lawak politik murahan. Perbezaan pandangan politik tidak pernah menjadi lesen untuk bertindak liar dan tidak beradab.
"Fadhli Saari tidak wajar lagi menjadi jurucakap mana mana parti politik yang ingin dilihat berintegriti dan matang," tegasnya sambil menggesa pihak berkuasa menyiasat Fadhli di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.









Comments