top of page

KEADILAN Kuantan tubuh Ranting Kampung Jawa Madani, kukuh akar umbi

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 4 minutes ago
  • 2 min read
Fakhrul Anuar mempengerusikan dialog penubuhan Ranting Kampung Jawa Madani di DUN Teruntum
Fakhrul Anuar mempengerusikan dialog penubuhan Ranting Kampung Jawa Madani di DUN Teruntum

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Kuantan mengorak langkah memperkukuh jentera akar umbi menerusi usaha penubuhan Ranting Kampung Jawa Madani di DUN Teruntum.


Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi berkata, usaha itu digerakkan melalui sesi dialog bersama pimpinan tempatan pada 7 Mei lalu bagi merangka struktur awal serta pelan tindakan ranting berkenaan.


"Penubuhan ranting di tengah bandar Kuantan ini adalah strategi ‘kubu dalam kubu’ bagi DUN Teruntum yang merupakan kerusi tradisi KEADILAN-PH.


"Kita menang DUN Teruntum, tapi tak boleh ambil mudah. Ranting Kg Jawa ini akan jadi pusat khidmat mini. Ada isu longkang tersumbat, anak muda nak biasiswa, warga emas nak bantuan, terus datang ranting, tak perlu tunggu pilihanraya," katanya dalam satu kenyataan.


Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Naib Ketua Cabang, Jeff Lee Chee Mun serta Setiausaha Pengelola Cabang, Ahmad Fazdheim Sharafiz.


Menurut Fakhrul Anuar, pertemuan hampir dua jam itu melibatkan pimpinan tempatan pelbagai kaum dengan fokus kepada pembentukan jawatankuasa penaja dan pelan gerak kerja awal.


Sementara itu, Jeff Lee menegaskan kepentingan keterangkuman dalam struktur kepimpinan ranting.


"Kampung Jawa mempunyai penduduk majmuk, sebab itu jawatankuasa penaja kita pastikan ada wakil Melayu, Cina dan India. MADANI bukan sekadar slogan, ia adalah cara kerja dan ranting ini bukti kita menjaga semua," katanya.


Ahmad Fazdheim pula memaklumkan proses penubuhan sedang berjalan dengan sasaran mengadakan mesyuarat rasmi dalam masa terdekat.


"Kita sudah kenal pasti 35 bakal ahli pengasas dan sasaran kita adalah mengadakan mesyuarat penubuhan rasmi sebelum hujung Mei," katanya.


Dalam pada itu, tiga petunjuk prestasi utama (KPI) awal turut ditetapkan bagi memastikan keberkesanan ranting tersebut, termasuk mendaftar 50 ahli dalam tempoh 30 hari, menyelesaikan lima aduan awam serta membantu lima anak muda mendapatkan peluang biasiswa.


Fakhrul Anuar menambah, model “Ranting Khidmat” itu berpotensi diperluaskan ke kawasan lain sekiranya berjaya.


"Kita mula di kubu sendiri di Teruntum. Bila stabil, jentera ranting ini akan membantu kita menembusi kawasan lain termasuk DUN Tanjung Lumpur serta merampas Parlimen Kuantan pada PRU akan datang," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page