KEADILAN Kuantan santuni ketua keluarga hilang upaya, anak OKU
- Redzuan Shamsudin

- 7 hours ago
- 1 min read

Komitmen menjaga kebajikan rakyat terus diterjemah menerusi program Ziarah Kasih Madani anjuran KEADILAN Kuantan apabila pimpinan cabang turun menyantuni keluarga Shanker Subramaniam, 48 tahun, di Seri Kuantan, DUN Teruntum.
Lawatan diketuai Ketua Cabang Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi bersama Ketua Ranting Seri Kuantan Madani, Albert Tan Siew Khong dan Ketua Ranting Kubang Buaya Madani, Nicholas de Costa.
Shanker hilang upaya bekerja sejak Mei 2025 akibat komplikasi penyakit kencing manis kronik. Beban keluarga beliau bertambah apabila isterinya terpaksa menjaga anak Orang Kurang Upaya (OKU) yang terlantar di rumah tanpa sumber pendapatan tetap.
Dalam ziarah itu, Fakhrul Anuar menzahirkan rasa simpati dan menyampaikan bakul makanan Madani serta sumbangan wang tunai kepada Shanker. Beliau turut merakamkan keprihatinan dengan melihat sendiri keadaan anak OKU keluarga berkenaan.
"Ziarah ini bukan sekadar menyerahkan bantuan, tapi untuk memahami realiti dan beban yang dipikul keluarga seperti ini. Kita perlu pastikan mereka tidak berjuang sendirian," kata Fakhrul Anuar.
Beliau memaklumkan telah menghubungi PERKESO Negeri Pahang untuk siasatan bagi permohonan bantuan pencen ilat kepada Shanker. Malah beliau turut akan berbincang dengan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuantan bagi mengenal pasti bantuan tambahan yang boleh disalurkan segera kepada keluarga berkenaan.
"Tiada siapa patut tercicir dalam sistem Malaysia Madani. Keadilan Kuantan akan terus jadi jambatan antara rakyat dan agensi kerajaan supaya bantuan sampai tepat pada waktunya," tegas beliau.
Ziarah Kasih Madani merupakan program berkala bulanan KEADILAN Kuantan bagi menziarahi golongan asnaf, warga emas, OKU dan keluarga berpendapatan rendah di seluruh Parlimen Kuantan.




Comments