KEADILAN Kuantan rai kecemerlangan anak anggota masuk IPT
- Suara Keadilan

- Aug 28
- 1 min read

KEADILAN Cabang Kuantan meneruskan tradisi meraikan kecemerlangan anak-anak anggota parti yang berjaya menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) sesi akademik 2025/2026 melalui Majlis Penyampaian Sumbangan IPT yang diadakan baru-baru ini.
Menurut Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi, program yang memasuki tahun ketiga itu berjaya menghimpunkan seramai 30 orang pelajar terdiri daripada anak anggota parti yang menerima tawaran ke universiti, politeknik, matrikulasi dan kolej teknikal di seluruh negara selepas keputusan SPM dan STPM 2024.
"Program ini sebagai satu usaha menghargai kejayaan mereka di samping membantu mereka di sudut kewangan ketika memulakan pengajian," katanya dalam kenyataan media.
Dalam pada itu, beliau juga mengajak anak-anak anggota yang kini bergelar mahasiswa untuk bersama-sama menyumbang bakti dalam program anak muda di Kuantan melalui Angkatan Muda KEADILAN (AMK) ketika pulang bercuti semester.
Turut hadir, wakil Ketua AMK Kuantan, Ammar Fikri Abdul Razak, yang menyeru pelajar agar menjadikan peluang di IPT bukan sahaja untuk cemerlang dalam akademik tetapi juga sebagai ruang membina sahsiah, kepimpinan dan integriti melalui penglibatan dalam pelbagai aktiviti kokurikulum.
Program turut diserikan dengan kehadiran Ketua Wanita KEADILAN Kuantan, Sridayu Samsuri serta Setiausaha Kerja AMK Pahang, Siti Samihah Sheikh Jefri, yang bersama memberikan sokongan moral kepada pelajar-pelajar dan keluarga mereka.









Comments