KEADILAN Kuantan, NGO, sekolah Cina bantu penempatan mangsa banjir
- Suara Keadilan
- 26 minutes ago
- 2 min read

Kejadian banjir yang melanda daerah Kuantan baru-baru ini hampir melumpuhkan beberapa kawasan utama, khususnya di DUN Inderapura, Parlimen Kuantan, dengan ribuan penduduk terjejas dan terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Di sebalik musibah tersebut, KEADILAN Cabang Kuantan melalui jaringan kerjasama bersama NGO seperti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Persatuan Wanita Inspirasi Kuantan (WINK) berjaya membina hubungan strategik dengan pelbagai institusi dan pertubuhan bagi membantu mangsa-mangsa banjir.
Ketua Cabang KEADILAN Kuantan yang juga Ahli Majlis Bandaraya Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi berkata, pihaknya mengambil inisiatif menjalin kerjasama dengan Sekolah Menengah Chong Hwa, sebuah institusi pendidikan Cina swasta di Kuantan, bagi dijadikan pusat pemindahan sementara tambahan.
"Sekolah ini awalnya tidak digazetkan sebagai PPS tetapi berdekatan dengan Taman Seri Inderapura, Kuantan iaitu sebuah taman yang teruk dilanda banjir kali ini.
"Menyedari jumlah penduduk Taman Seri Inderapura yang ramai dan melibatkan 1800 buah rumah, saya mengambil inisiatif berhubung dengan pihak sekolah dan dengan Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) Kuantan bagi menjadikan sekolah ini sebagai satu lagi PPS tambahan untuk kawasan Taman Seri Inderapura selain SK Bunut Rendang," katanya dalam satu kenyataan.
Hasil kerjasama erat bersama Pegawai Daerah Kuantan dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, Sekolah Menengah Chong Hwa akhirnya mendapat kelulusan rasmi untuk dijadikan PPS.
"PPS ini telah menempatkan seramai 1,000 orang mangsa banjir, terdiri daripada 767 orang dewasa dan 233 kanak-kanak, yang dapat berlindung dengan selamat," katanya.
Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Chong Hwa, Cikgu Chua Leok Hong berkata, pihak sekolah sentiasa bersedia membantu penduduk setempat khususnya ketika berdepan bencana alam.
Beliau turut menzahirkan rasa terharu dan berterima kasih atas kunjungan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang berkenan mencemar duli menyantuni mangsa-mangsa banjir yang berlindung di sekolah berkenaan.
Menurut Fakhrul Anuar, kerjasama antara Majlis Bandaraya Kuantan dan Sekolah Menengah Chong Hwa akan diteruskan selepas bencana banjir berakhir, khususnya dalam memperkukuh kesiapsiagaan komuniti dan pengurusan bencana pada masa hadapan.





