KEADILAN Kuantan mantapkan kerjasama jentera Cabang, Ranting
- Suara Keadilan

- Sep 12
- 1 min read

KEADILAN Cabang Kuantan mengadakan siri temu rapat bersama kepimpinan Cabang dan Ranting di Pusat Kegiatan Wanita KEADILAN Kuantan, Bandar Putra, bagi merancakkan semula kegiatan jentera akar umbi selepas pemilihan kepimpinan baharu sesi 2025-2028.
Majlis dipimpin oleh Ketua Cabang, Fakhrul Anuar Zulkawi dengan kehadiran Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kuantan, Hilmy Yakap dan Ketua Wanita KEADILAN Kuantan, Sridayu Samsuri.
Dalam ucapannya, Fakhrul Anuar menekankan pentingnya Ranting beroperasi mengikut struktur Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di peringkat Parlimen dan DUN.
"Di Parlimen Kuantan, setakat ini ada 25 daerah mengundi dan 106 lokaliti mengundi. Di sinilah peranan Ranting yang bergerak secara sistematik mengikut kedudukan daerah mengundi dan lokaliti mengundi penting di dalam memenangi pilihanraya.
"Pihak Cabang akan bersama membantu jentera akar umbi untuk mengukuhkan operasi Ranting dan menubuhkan ranting-ranting baharu," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Hilmy Yakap pula menekankan keperluan memperkukuh jentera anak muda, khususnya AMK.
"Program seperti Tukar Minyak Hitam Motosikal secara percuma yang dijayakan bersama ranting-ranting ternyata memberi impak di dalam penglibatan anak-anak muda untuk bersama parti," jelasnya.
Manakala Sridayu Samsuri menegaskan peranan wanita sebagai tonggak utama parti.
"Wanita merupakan tonggak utama kejayaan menggerakkan kegiatan parti di akar umbi selama ini.
"Oleh itu perhatian harus diberikan oleh semua kepimpinan Ranting di dalam memperkasakan kepimpinan wanita di akar umbi," kata beliau.
Temu rapat itu turut menjadi ruang cadangan dan pertanyaan daripada jentera akar umbi, termasuk keperluan berkongsi jadual tahunan program parti lebih awal bagi memudahkan mobilisasi menyeluruh anggota.
Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada tiga ranting terbaik yang berjaya menamatkan kursus digital kepimpinan ranting anjuran cabang, yang telah berlangsung sebanyak 12 siri.









Comments