top of page

KEADILAN Kuantan manfaat ceramah kelompok berdialog bersama petani

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 2 min read
Fakhrul Anuar (berdiri) berdialog bersama 35 petani dan menerangkan bantuan kerajaan yang boleh diperolehi
Fakhrul Anuar (berdiri) berdialog bersama 35 petani dan menerangkan bantuan kerajaan yang boleh diperolehi

Seramai 35 orang petani Kampung Ubai hadir ke Sesi Ceramah Kelompok bersama Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi yang berlangsung baru baru ini di Restoran Nasi Dagang Kampung Ubai.


Program anjuran Biro Pertanian KEADILAN Cabang Kuantan di bawah Mat Darus Mahussin dan Ketua AMK Ranting KEADILAN Kampung Ubai, Mohd Yusoff Mustafa itu bertujuan mendekati golongan petani serta memberi penerangan mengenai pelbagai inisiatif bantuan di bawah Kerajaan Madani.


Dalam sesi dialog tersebut, Fakhrul Anuar menjelaskan beberapa bantuan yang boleh dimanfaatkan oleh golongan petani. Antaranya ialah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah Kementerian Ekonomi dan Program Peningkatan Pendapatan (PPP) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.


Bagi golongan muda pula, beliau memaklumkan peluang memohon Geran Agropreneur Muda di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang terbuka kepada petani berusia 45 tahun ke bawah.


"Kerajaan Madani sangat menekankan pembangunan sektor pertanian. Selain bantuan sedia ada, bidang akuakultur juga menjadi antara fokus utama yang diberikan galakan kerana berpotensi besar meningkatkan pendapatan petani," katanya.


Sekumpulan petani mendapat manfaat dari dialog bersama KEADILAN Kuantan
Sekumpulan petani mendapat manfaat dari dialog bersama KEADILAN Kuantan

Selepas sesi ceramah dan dialog, Fakhrul Anuar turut dibawa melawat ke kawasan pertanian sekitar Kampung Ubai. Lawatan itu bagi melihat sendiri permasalahan yang dihadapi petani di lapangan seperti sistem perparitan yang tidak sempurna, keadaan jalan masuk ke kebun serta keperluan bekalan elektrik di kawasan pertanian.


Beliau turut memaklumkan bahawa tiga permohonan berkaitan baik pulih infrastruktur jalan dan sistem perparitan di kawasan tersebut telah diangkat kepada Kementerian Ekonomi di bawah Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) untuk tindakan lanjut.


"Apa yang kita dengar dan lihat hari ini akan kita bawa ke peringkat sewajarnya. Komitmen kita adalah untuk memastikan suara petani di akar umbi didengari dan masalah mereka diselesaikan secara sistematik," kata beliau.


Para petani yang hadir menyambut baik sesi tersebut dan berharap lebih banyak program seumpama ini dapat diadakan bagi merapatkan hubungan antara pimpinan dan masyarakat luar bandar.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page