top of page

KEADILAN Kuantan gerak Program Semarak Ramadan 2026

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2h
  • 2 min read
 Fakhrul (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan dalam juadah berbuka dalam Program Semarak Ramadan
 Fakhrul (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan dalam juadah berbuka dalam Program Semarak Ramadan

KEADILAN Kuantan terus memperkukuh peranan dalam masyarakat apabila menggerakkan Program Semarak Ramadan (PSR) 2026 melibatkan pelbagai program bersama komuniti di Parlimen Kuantan sepanjang bulan puasa.


Antara pengisian utama program ialah penganjuran majlis berbuka puasa di masjid dan surau sekitar Parlimen Kuantan. Sepanjang 10 hari pertama Ramadan, majlis tersebut telah dijayakan bersama beberapa institusi ibadah di tiga DUN di bawah Parlimen Kuantan iaitu DUN Teruntum, DUN Tanjung Lumpur dan DUN Inderapura.


Antara lokasi terlibat termasuk Masjid Al-Hidayah Alor Akar, Masjid Assyakirin Taman Berjaya Permai, Masjid Al-Muttaqin Tanah Putih Baru, Masjid Kampung Cherok Paloh serta Surau Haji Jaafar Kg Galing Besar.


Menurut Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi, PSR 2026 merupakan penganjuran tahun kesepuluh sejak dimulakan pada 2017 di Parlimen Kuantan.


"Program PSR 2026 ini merupakan tahun kesepuluh ia dianjurkan sejak 2017 lagi di Parlimen Kuantan.


"Alhamdulillah, ia terus mendapat sambutan baik serta kerjasama pelbagai pihak," katanya dalam muat naik di media sosial.


Beliau berkata, program tersebut turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Wanita Inspirasi Kuantan (WINK) dan Pertubuhan Ekonomi Madani Negeri Pahang.


Tambah beliau yang juga Ahli Majlis Bandaraya Kuantan, program seumpama ini berjaya menggerakkan 60 ranting dalam Cabang Kuantan, sekali gus menjadi jumlah tertinggi dalam KEADILAN Negeri Pahang.


Selain majlis berbuka puasa, PSR 2026 turut diisi dengan tazkirah Ramadan, sumbangan pek makanan kepada golongan memerlukan serta sumbangan karton kurma kepada setiap masjid dan surau terlibat.


Menariknya, kata Fakhrul, program tersebut juga melibatkan anggota parti bukan beragama Islam untuk bersama-sama meraikan majlis berbuka puasa, mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan pelbagai kaum.


"PSR 2026 akan terus digerakkan sepanjang bulan Ramadan termasuk majlis berbuka puasa Cabang Kuantan yang akan diadakan pada 18 Ramadan nanti.


"Ia merupakan acara tahunan yang dinantikan anggota dan menjadi wadah pertemuan mesra anggota parti pelbagai kaum," ujar beliau lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page