top of page

KEADILAN Kuantan anjur gunting rambut percuma di tujuh lokasi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read
Pelajar seolah rendah yang terlibat dalam program gunting rambut percuma
Pelajar seolah rendah yang terlibat dalam program gunting rambut percuma

Bagi membantu meringankan beban keluarga berpendapatan rendah menghadapi sesi persekolahan baharu 2026, KEADILAN Cabang Kuantan telah menganjurkan program gunting rambut percuma di tujuh lokasi sekitar Parlimen Kuantan baru baru ini, melibatkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Teruntum, DUN Tanjung Lumpur dan DUN Inderapura.


Program tersebut dilaksanakan di Balairaya Kampung Tengah dan Barbershop Teluk Sisek di DUN Teruntum; Dewan Orang Ramai Taman Berjaya Permai, PPRS Pinggiran Putra Kempadang serta Dewan Mentiga Sungai Isap 2 di DUN Tanjung Lumpur; serta Dewan Sri Inderapura Taman Seri Inderapura dan Balairaya Kampung Kuala Penor di DUN Inderapura.


Menurut Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi, program gunting rambut percuma tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Kembali Ke Sekolah (KKS) 2026 yang menyasarkan sekitar 1,000 pelajar sekolah rendah, selain penyampaian baucar KKS dalam bentuk pakaian dan peralatan sekolah.

Fakhrul Anuar (kiri sekali) hadir dalam salah satu program gunting rambut percuma di Cabang Kuantan
Fakhrul Anuar (kiri sekali) hadir dalam salah satu program gunting rambut percuma di Cabang Kuantan

"Program ini juga mensasarkan keluarga yang berpendapatan rendah bagi meringankan beban kewangan keluarga di dalam menyediakan anak-anak mereka kembali ke sesi tahun baharu akademik 2026.


"Penganjuran ini juga melibatkan kerjasama komuniti tempatan iaitu sayap-sayap serta ranting-ranting di bawah Cabang Kuantan serta KRT dan JPKK serta NGO," katanya.


Sementara itu, Pengerusi KRT Sungai Isap 2 memaklumkan bahawa program kerjasama berkenaan berjaya menghimpunkan seramai 280 anak-anak sekolah dari Gugusan Sungai Isap, melibatkan kawasan Sungai Isap Damai, Sungai Isap Perdana, Sungai Isap Jaya, Kampung Sungai Isap, Perkampungan Sungai Isap 1, Sungai Isap Murni dan Sungai Isap 2.


Bagi Pengerusi JPKK Kampung Tengah, Rizal Arshad, program itu amat membantu ibu bapa dalam membuat persediaan kemasukan anak-anak ke sekolah, khususnya di DUN Teruntum.


"Program seumpama ini meringankan beban ibubapa menjelang kemasukan anak ke sekolah dan berjaya menarik lebih 100 anak-anak sekolah di sekitar DUN Teruntum," ujarnya.


Dalam pada itu, Pengerusi KRT Taman Seri Inderapura, Ahmad Yussri Abdul Rashid, pula menyifatkan program kerjasama berkenaan amat diperlukan oleh penduduk setempat yang masih terkesan akibat musibah banjir di DUN Inderapura pada Disember 2025 lalu.


KEADILAN Cabang Kuantan menyifatkan penganjuran program gunting rambut percuma kali ini sebagai sangat berjaya dan memberi impak positif kepada komuniti setempat. Parti itu turut komited untuk terus menggiatkan program pendidikan lain termasuk tuisyen percuma serta pengukuhan minat terhadap subjek Matematik dan Sains melalui STEM Camp bagi sesi akademik 2026.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page