KEADILAN Kimanis rancang program 'Terima Kasih PMX', hadapi PRN Sabah
- Suara Keadilan

- Jul 23
- 2 min read

KEADILAN Cabang Kimanis merancang untuk menganjurkan program ‘Terima Kasih PMX’ sebagai manifestasi sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menggerakkan persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.
Inisiatif itu dizahirkan susulan kunjungan hormat Setiausaha Politik kepada Menteri Komunikasi, Abdullah Izhar Mohamed Yusop ke pejabat KEADILAN Cabang Kimanis yang baharu beroperasi di Kimanis Centro pada Rabu.
Ketua Cabang KEADILAN, Kimanis Niki Ramday, menyifatkan kunjungan itu sebagai simbolik penting kepada seluruh jentera cabang dalam memperkukuh kesiapsiagaan politik dan hubungan akar umbi.
"Ini kunjungan rasmi pertama ke pejabat baharu kami dan ia memberikan suntikan semangat buat seluruh warga cabang untuk terus memperkasakan kerja politik dan kemasyarakatan di Kimanis," katanya dipetik The Malaysia Press.
Sementara itu, Izhar dalam ucapannya menegaskan komitmen berterusan dalam menyokong keperluan operasi cabang-cabang parti, khususnya dalam memperluas jangkauan program-program yang memberi impak langsung kepada komuniti setempat.
"Kita mahu pastikan program yang dilaksanakan menyentuh terus keperluan rakyat, dengan penglibatan aktif Komuniti MADANI selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri," jelas beliau.
Lawatan tersebut turut diserikan dengan laungan semangat “Terima Kasih PMX” berlatarbelakangkan sepanduk gergasi yang memaparkan wajah Perdana Menteri dengan tema sokongan terhadap dasar-dasar Kerajaan Perpaduan.
Program dan pertemuan ini juga dilihat sebagai antara gerak awal parti dalam memperkukuhkan jentera menjelang PRN17 Sabah, yang dijangka diadakan selewat-lewatnya pada hujung tahun ini.
PRN17 akan menjadi medan penting bagi menguji sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan MADANI di Sabah yang selama ini menyaksikan landskap politik yang dinamik dan tidak menentu.
Gabungan jentera akar umbi dan strategi sentuhan rakyat dijangka memainkan peranan besar dalam menentukan hala tuju politik negeri itu.









Comments