top of page

KEADILAN Kemaman persoal sikap ADUN Pas gagal bantu pesakit kanser

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 minutes ago
  • 2 min read

ree

Sikap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Datuk Seri Hanafiah Mat yang didakwa gagal membantu seorang penduduk tempatan, Allahyarham Mohd Lutfi Abdul Halim dari Kampung Pasir Gajah yang meninggal dunia akibat penyakit kanser dipersoalkan KEADILAN Cabang Kemaman.


Ketua Cabang KEADILAN, Ahmad Nazri Mohd Yusof (gambar), menyifatkan insiden tersebut bukan sekadar tragedi peribadi, sebaliknya mencerminkan kegagalan dasar pentadbiran kerajaan Terengganu pimpinan Pas, yang menurutnya tidak mengutamakan kebajikan rakyat marhaen.


"Kisah arwah Mohd Lutfi bukan sekadar satu tragedi peribadi, tetapi cerminan nyata kegagalan dasar pentadbiran negeri yang dipimpin Pas Terengganu yang lebih sibuk menjaga keselesaan pemimpin berbanding kebajikan rakyat marhaen," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Nazri, keadaan itu amat dikesalkan kerana beberapa bulan lalu Lutfi memohon bantuan Tabung Darul Iman yang diwujudkan oleh kerajaan terdahulu bertujuan membantu rakyat dalam kesusahan, termasuk pesakit kronik.


Namun permohonan Lutfi dijawab dingin oleh pihak ADUN dan tiada bantuan diberikan.


Ironinya, kata Nazri, Kerajaan Negeri dalam masa sama meluluskan RM16 juta pinjaman kenderaan untuk ADUN-ADUN, membeli kenderaan mewah Mazda CX-8 untuk pimpina kerajaan, dan membelanjakan jutaan ringgit bagi gaji lantikan politik yang tidak produktif.


"Apakah ini wajah sebenar “Kerajaan Islam” yang dilaungkan selama ini? Di mana nilai ihsan dan tanggungjawab sosial yang dijanjikan kepada rakyat?" soalnya.


Beliau turut menegaskan bahawa kegagalan menyalurkan bantuan kepada rakyat miskin dan pesakit kronik ketika negeri menikmati hasil royalti petroleum yang besar membuktikan salah urus keutamaan dalam pentadbiran negeri.


Justeru, katanya, KEADILAN Kemaman mendesak agar Kerajaan Negeri dan ADUN Chukai yang juga Exco negeri tampil memberi penjelasan terbuka kepada keluarga arwah Lutfi serta seluruh rakyat Kemaman.


Dalam masa sama, beliau menyeru agar Tabung Darul Iman diaktifkan semula dengan mekanisme ketelusan dan pengawasan bebas bagi memastikan bantuan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.


"Nyawa rakyat bukan angka dalam kertas bajet. Ia amanah yang akan dipersoalkan di dunia dan di akhirat," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page