KEADILAN Kemaman lapor polis kata kesat di himpunan anti rasuah 2.0
- Suara Keadilan

- Jul 3
- 1 min read

KEADILAN Kemaman membuat laporan polis ke atas seorang peserta Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, Sabtu lalu yang mengeluarkan kata kata kesat ke atas perdana menteri.
Menurut kenyataan KEADILAN Kemaman, kalimat kesat seumpama itu amat tidak wajar diucapkan dalam himpunan yang dikatakan dianjur oleh mahasiswa institusi pengajian tinggi.
"KEADILAN Kemaman membuat laporan polis ini untuk menjaga nama baik perdana menteri dan menjaga institusi perdana menteri itu sendiri daripada dicemari unsur unsur melanggar tatasusila negara," kata kenyataan itu.
Laporan polis itu dibuat oleh Ketua Cabang Kemaman, Ahmad Nazri Mohd Yusof; Setiausaha Pengelola, Mohamad Yusof dan Ahli Jawatankuasa Cabang, Daud Deraman di Balai Polis Cheneh, Kemaman.
Untuk rekod, sebelum ini Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat juga telah membuat laporan polis ke atas aktivis politik Hishamudin Rais yang berucap mengajak mahasiswa meneriakkan kata kata kesat ke atas perdana menteri.
Banyak pihak berpendapat kata kata kesat mencaci perdana menteri bertentangan budaya Timur dan merosakkan semangat demokrasi yang membenarkan penganjuran perhimpunan aman.









Comments