KEADILAN Kelantan sokong kepimpinan Anwar, mahu kerajaan baharu selesaikan masalah air


KEADILAN Kelantan berdiri teguh di belakang kepimpinan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut kenyataan bersama Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, Ketua Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN Negeri, ketetapan itu telah diperolehi dalam mesyuarat khas Pimpinan KEADILAN Negeri semalam.
"Kami telah memutuskan dan mengambil ketetapan antaranya akan terus kekal menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden KEADILAN dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang sentiasa cekal dalam perjuangan walaupun diduga dengan pelbagai ujian selama ini.
"Keteguhan pegangan prinsip, kejituan penegakan agenda reformasi dan kenegarawanan beliau jelas terserlah dalam krisis yang dihadapi negara sekarang.
"Kami akan teruskan agenda reformasi pembelaan rakyat dan institusi negara tanpa bertolak ansur tentang rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa," kata mereka.
Kenyataan itu juga menjelaskan harapan KEADILAN negeri agar kerajaan baharu di peringkat Persekutuan melipatgandakan usaha untuk terus membangunkan Kelantan terutamanya dari segi kemudahan awam yang selama ini agak ketinggalan berbanding dengan negeri lain.
"Masalah air misalnya, sehingga kini masih tidak dapat diselesaikan.
"Selain itu, masalah peluang pekerjaan juga harus diutamakan dengan kadar yang amat segera memandangkan ramai yang terkesan
kerana pandemik Covid 19.
"Penekanan bukan sahaja berarah kepada pembangunan dari segi infra, malah pembangunan dari segi akhlak serta rohaniah juga perlu seiring.
"Pihak kami akan terus memantau peranan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam hal tersebut dan akan menjadi sebahagian daripada kumpulan pendesak kepada kerajaan seandainya mereka membelakangkan hak dan kesejahteraan rakyat," kata mereka lagi.
KEADILAN Kelantan juga mahu pemimpin dan anggota untuk terus mengukuhkan parti dan memantap penyusunan serta gerak kerja parti ke arah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengerusi KEADILAN Negeri Kelantan Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor, Ketua Wanita KEADILAN Negeri Naziratul Aini Muhamad Sayuty dan Ketua AMK Negeri Muhd Hafiz Muhd Kasasi.




Comments