Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul selaku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Kedah tampil memberikan sumbangan kepada masyarakat Cina di kawasannya sempena perayaan Tahun Baru Cina yang akan diraikan tidak lama lagi.
Beliau berkata, walaupun sambutan perayaan tahun ini agak terbatas kerana pandemik Covid-19, ia tidak menghalang mereka untuk meraikannya.
"Beberapa hari sahaja lagi masyarakat Cina bakal menyambut perayaan Tahun Baru Cina yang julung kali disambut dalam suasana yang cukup terbatas ekoran pandemik Covid-19 yang belum menunjukkan tanda ianya akan reda dalam masa terdekat.
"Ini ditambah lagi dengan perlaksanaan PKP yang dikuatkuasa sehingga 18 Februari ini.
"Saya mengambil kesempatan ini menyantuni penduduk khususnya masyarakat Cina di Jeniang dan menyampaikan sedikit sumbangan kepada mereka yang kebanyakannya terjejas akibat pandemik Covid-19 dan PKP.
"Diharap ianya sedikit sebanyak dapat membantu ringankan beban mereka yang terkesan," katanya.
Johari memberi sumbangan kepada beberapa pihak antaranya sumbangan hamper kepada Pengerusi Persatuan Penjaja Kedah Tengah, Eng Chai Teng untuk diagihkan kepada masyarakat Cina yang memerlukan.
Beliau juga menyampaikan sumbangan hamper kepada Ketua Ranting Taman PKNK Tikam Batu, Jimmy Loh untuk diagihkan pada masyarakat Cina yang kurang bernasib baik.
Ketua AMK Kedah, Firdaus Johari juga tidak ketinggalan menyantuni dan menyampaikan sedikit sumbangan kepada masyarakat Cina di Bedong dan Gurun sempena sambutan Tahun Baru Cina.
"Walaupun sambutan kali ini jauh berbeza akibat pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP, namun golongan yang kurang bernasib baik, miskin serta anak yatim wajar terus diraikan bersama," katanya.
Comments