KEADILAN kecam Israel roboh pejabat Agensi Kerja, Bantuan PBB di Palestin
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pencerobohan terhadap ibu pejabat Agensi Kerja dan Bantuan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) serta tindakan rejim Israel merobohkan premis agensi itu di Sheikh Jarrah, Baitulmuqaddis Timur pada 20 Januari lalu dikecam masyarakat antarabangsa.
Sehubungan itu, Biro Hal Ehwal Antarabangsa KEADILAN menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar mengambil tindakan segera dan konkrit bagi mempertanggungjawabkan rejim Zionis di atas tindakan biadap berkenaan.
Pengerusi Biro Hal Ehwal Antarabangsa KEADILAN, Dr Maszlee Malik berkata, desakan itu termasuk memastikan pembinaan semula kompleks tersebut sekali gus menjamin kekebalan semua premis dan operasi kemanusiaan PBB.
"Kami juga menyeru agar diadakan satu sidang tergempar Perhimpunan Agung PBB bagi menangani pencerobohan ini serta sistem apartheid dan pendudukan haram yang berterusan.

"Selain itu, tindakan tegas oleh komuniti antarabangsa perlu diambil termasuk pengenaan sekatan dan embargo senjata ke atas rejim Zionis sehingga ia mematuhi undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi PBB yang berkaitan.
"Solidariti global daripada semua negara yang menjunjung keadilan (juga diperlukan) bagi memberi tekanan kepada kerajaan masing-masing agar bertindak tegas mempertahankan hak rakyat Palestin, kesucian organisasi antarabangsa dan ketertiban dunia berasaskan undang-undang," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sambil mengecam keras tindakan rejim Zionis itu yang disifatkannya sebangai satu pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa, norma diplomatik dan satu serangan langsung terhadap PBB serta misi kemanusiaannya.
Dr Maszlee berkata, pihaknya menyokong penuh kenyataan Jurucakap kepada Setiausaha Agung United Nations (UN), yang menyatakan bahawa Setiausaha Agung ‘amat terganggu dengan tindakan perobohan tersebut’ dan menegaskan bahawa ‘kompleks berkenaan terletak di atas tanah milik UNRWA, di mana agensi itu menyediakan bantuan kemanusiaan yang kritikal’.
"Pendirian PBB ini menekankan betapa seriusnya sifat tindakan yang menyalahi undang-undang tersebut, yang seterusnya memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang dihadapi keluarga Palestin di Sheikh Jarrah dan kawasan sekitarnya.
"Kami berdiri teguh bersama rakyat Palestin dan UNRWA. Kami menegaskan komitmen berterusan terhadap perjuangan Palestin untuk kebebasan, penentuan nasib sendiri dan hak untuk kembali.
"Dunia tidak boleh terus berdiam diri. Masanya untuk tindakan tegas adalah sekarang," katanya lagi.









Comments