RPM 2026–2035: Dasar pendidikan terbaik, perlu libat urus semua pihak
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 membuka peluang besar untuk mentransformasikan landskap pendidikan negara, namun kejayaannya tidak boleh bergantung kepada reka bentuk dasar semata-mata, sebaliknya memerlukan pelaksanaan tuntas serta penglibatan berterusan semua pihak berkepentingan.
Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, pelan pendidikan baharu itu amat dinantikan oleh masyarakat khususnya warga pendidik, ibu bapa dan mereka yang mengharapkan sistem pendidikan yang berdaya tahan menghadapi cabaran semasa dan masa depan.
"Antara pembaharuan penting yang diberi perhatian ialah reformasi dasar pendidikan awal menerusi pengenalan pendaftaran secara sukarela ke Tahun Satu pada usia enam tahun.
"Langkah ini sejajar dengan amalan pendidikan global dan menempatkan Malaysia selari dengan 143 buah negara yang telah lama mengamalkan pendekatan serupa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pendedahan awal kepada pembelajaran berstruktur membolehkan intervensi awal dilaksanakan, membantu mengenal pasti keperluan perkembangan kanak-kanak serta menyediakan asas pembelajaran sepanjang hayat, dengan syarat ekosistem sokongan tersedia sejak awal
"Dasar ini juga diharap membantu ibu bapa yang bekerja dalam menghadapi kos penjagaan kanak-kanak yang semakin meningkat.
"Seperti yang dilaporkan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) pada tahun 2019, kos penjagaan dan pendidikan awal anak-anak yang tinggi dikesan antara penyumbang beban kewangan pasangan muda berusia di antara 20 hingga 40 tahun," ujarnya.
Pada masa sama Nurul Izzah mengingatkan, pelaksanaan dasar tersebut perlu juga mengambil kira jurang kesediaan prasarana
dan tenaga pengajar antara wilayah, khususnya di kawasan luar bandar, pedalaman serta Sabah dan Sarawak, memandangkan peralihan secara sukarela ini berpotensi mewujudkan lonjakan bilangan murid dalam tempoh singkat.
"Tanpa pendekatan berbeza mengikut konteks setempat, risiko ketidaksamaan akses dan kualiti pendidikan awal berkemungkinan akan terus melebar," jelasnya.
Selain itu, beliau turut menegaskan kepentingan pendedahan awal Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di sekolah kebangsaan bagi menangani keciciran berdasarkan jantina sebagaimana fenomena “the lost boys”, seperti yang dilaporkan oleh UNICEF pada tahun 2023.
"Pendedahan awal TVET di sekolah rendah dan menengah bukan sahaja membina asas kemahiran, tetapi juga menangkap minat murid sedari awal dan memastikan kesinambungan kurikulum sehingga ke alam pekerjaan yang lebih bersesuaian dengan kehendak industri," tegasnya.
Pada masa sama, beliau menyambut baik keputusan kerajaan menjadikan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai peneraju tunggal sistem pendidikan pra-universiti mulai 2027, yang disifatkan mampu memperkukuh perancangan jangka panjang dan memperluas akses ke universiti awam secara lebih inklusif.
Keputusan tersebut, katanya berdasarkan kebimbangan tempat terhad bagi kursus-kursus popular, terutamanya pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan tetapi sukar mendapatkan tempat di universiti.
Pendidikan, pada hemat Nurul Izzah wajar dipandu oleh kompas moral yang kukuh. Pelaksanaan pelan tentang peri penting etika, integriti, empati dan tanggungjawab sosial dalam membentuk teras pengajaran dan pembelajaran yang dapat memastikan kecemerlangan akademik berjalan seiring pembentukan sahsiah.
"Kejayaan pelan yang baik ini akhirnya terletak pada pelaksanaan yang teliti, telus, dan disokong semua pihak.
"Justeru, gandingan serta sinergi erat ibubapa, tenaga pengajar, badan bukan kerajaan, PIBG dan pemegang taruh lainnya dalam memastikan pelaksanaan yang tuntas dan menyeluruh merupakan intipati utama dalam menjayakan Rancangan Pendidikan Malaysia," akhiri Nurul Izzah.









Comments