top of page

JPJ benarkan cetakan kad lesen memandu fizikal tanpa bukti ke luar negara

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membenarkan cetakan kad fizikal Lesen Memandu Malaysia (LMM) tanpa keperluan mengemukakan bukti perjalanan ke luar negara bermula 23 Januari ini, selaras usaha mengurangkan karenah birokrasi dan memudahkan urusan rakyat.


Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dalam kenyataan berkata keputusan itu dibuat susulan penerimaan meluas orang ramai terhadap dasar Lesen Memandu Digital yang diperkenalkan sejak Februari 2023 dengan jumlah pengguna aplikasi MyJPJ kini mencecah 13 juta orang.


Menurut kementerian, trend tersebut mencerminkan perubahan positif dalam kalangan pengguna yang semakin menyesuaikan diri dengan konsep digital sebagai pilihan lebih mudah, termasuk pembaharuan lesen secara dalam talian tanpa perlu hadir ke pejabat JPJ.


Bagaimanapun, MOT menjelaskan maklum balas berterusan daripada orang ramai turut menunjukkan keperluan segelintir rakyat Malaysia untuk mendapatkan kad fizikal LMM khususnya bagi tujuan perjalanan dan pemanduan di luar negara.


Sebelum ini, pemohon perlu mengemukakan bukti keluar negara seperti tiket penerbangan bagi mendapatkan kad fizikal LMM.


Namun, sebagai langkah penambahbaikan penyampaian perkhidmatan, JPJ telah diarahkan supaya tidak lagi mengenakan syarat tersebut.


“Bermula 23 Januari 2026, cetakan kad fizikal LMM akan dibenarkan tanpa keperluan menunjukkan sebarang bukti keluar negara,” menurut kenyataan MOT.


Bagi tujuan cetakan, fi ditetapkan sebanyak RM20 untuk warganegara Malaysia dan RM100 untuk bukan warganegara dengan permohonan boleh dibuat di semua kaunter JPJ serta Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara tanpa sebarang sekatan kategori.


Dalam pada itu, kata MOT dasar sedia ada yang menawarkan pilihan mendapatkan LMM fizikal secara percuma kepada kumpulan sasar tertentu akan terus dikekalkan.


Kumpulan berkenaan merangkumi warga emas berumur 60 tahun dan ke atas, pemegang Lesen Kelas A1 dan A, serta pemegang Kad Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Pemandu yang memilih Lesen Memandu Digital pula akan terus menikmati akses percuma kepada lesen berkenaan yang boleh diperbaharui sepenuhnya melalui aplikasi MyJPJ tanpa perlu hadir ke mana-mana pejabat.


MOT dan JPJ menegaskan komitmen berterusan untuk menambah baik penyampaian perkhidmatan awam seiring agenda pendigitalan kerajaan, di samping memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.


“Orang ramai diseru untuk memanfaatkan sepenuhnya kemudahan Lesen Memandu Digital melalui aplikasi MyJPJ demi pengalaman urusan yang lebih mudah, pantas dan lancar,” kata MOT.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page