Kandungan memudaratkan: MCMC sekat sementara aplikasi AI Grok - Fahmi
- Suara Keadilan

- 49 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan berperingkat termasuk sekatan sementara akses terhadap perkhidmatan AI Grok di Malaysia sejak 11 Januari lalu susulan ketiadaan tindakan pencegahan yang berkesan daripada pengendali platform dalam menangani kandungan dilaporkan memudaratkan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, MCMC telah mengeluarkan notis rasmi kepada pihak X Corp dan xAI LLC pada 3 dan 8 Januari lalu berhubung kandungan Grok AI yang dilaporkan memudaratkan dan menghendaki tindakan pencegahan diambil segera.
"Berikutan ketiadaan tindakan pencegahan yang berkesan, MCMC antara lain telah mengarahkan penyedia perkhidmatan internet untuk melaksanakan sekatan sementara akses kepada aplikasi Grok dalam laman sesawang dan aplikasi mudah alih Grok berkuat kuasa 11 Januari lalu sebagai langkah mitigasi risiko segera.
"MCMC juga telah mengeluarkan satu lagi notis pada 16 Januari lalu yang menghendaki X Corp dan xAI LLC untuk segera melaksanakan moderasi kandungan dan mekanisme keselamatan secara menyeluruh ke atas fungsi-fungsi multimedia Grok AI," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mumtaz Md Nawi [PN-Tumpat] yang ingin tahu langkah susulan sekatan sementara akses AI Grok di Malaysia termasuk daripada aspek kawal selia, penguatkuasaan, pemantauan berterusan serta langkah jangka panjang bagi perlindungan kumpulan rentan agar dapat melindungi mereka daripada kandungan berbahaya dalam media sosial.
Berhubung sekatan sementara akses kepada aplikasi tersebut, Fahmi berkata, MCMC turut memantau pematuhan penyedia perkhidmatan internet terhadap arahan yang dikeluarkan serta keberkesanan kawalan kandungan oleh platform yang menyediakan aplikasi Grok AI.
Katanya, sehingga kini MCMC telah merekodkan 17 aduan berkaitan aplikasi berkenaan yang merangkumi enam aduan rasmi kepada MCMC, dua laporan polis yang dikongsi pengadu kepada MCMC, lapan aduan melalui penandaan atau ‘tagging’ di media sosial dan satu laporan awal pertama yang dibuka oleh MCMC.









Comments