Dasar pendidikan berasaskan penilaian diagnostik, tiada pelajar jadi 'tikus makmal'
- Suara Keadilan

- 58 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan kanak-kanak bukan untuk dijadikan ‘ujian makmal’, sebaliknya pelaksanaan dasar pendidikan awal dilaksana secara berfasa, sukarela dan berasaskan penilaian diagnostik serta sokongan emosi, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, proses libat urus berkaitan perkara itu telah dilaksanakan antaranya menerusi Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara, kewujudan portal cadangan pendidikan masa hadapan dan pelbagai sesi libat urus di peringkat akar umbi yang memfokuskan isu pendidikan awal dan hala tuju perancangan dasar berkenaan.
"Anak kita bukan untuk ‘ujian makmal’ atau pun ‘tikus makmal’.. sebab itu kita tekankan bahawa dalam konteks ini, kita nak beri tumpuan kerana ia adalah dasar yang telah pun kita bincangkan dan bahaskan dalam RMK-13.
"Kita tidak berhasrat ianya menjadi rintis, sebab itu kita sebut ia berfasa, sukarela dan harus berlaku dengan sokongan diagnostik.. ya betul Datuk Seri Anwar telah umum ia (sebagai) sukarela.. tapi daripada segi mekanismenya KPM yang tentukan.
"Mekanismenya mesti melalui proses diagnostik dan mesti ada sokongan emosi.. sebab itu kita tidak akan tinggalkan anak-anak ini begitu sahaja.
"Anak-anak ini mesti disokong oleh ujian diagnostik itu, kemudiannya mesti ada sokongan psikososial kepada kanak-kanak ini kerana ini adalah satu keadaan yang baru untuk mereka," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Roslan Hashim [PN-Kulim Bandar Baharu] yang ingin tahu rasional membenarkan kemasukan murid ke Tahun 1 pada umur 6 tahun dan adakah Kementerian telah menjalankan sebarang kajian empirikal atau penilaian impak sebelum cadangan ini dibuat serta dibentangkan kepada Dewan.
Mengulas lanjut, Fadhlina Sidek menegaskan, apa yang dihasratkan kerajaan bukanlah sesuatu yang dilaksanakan secara tergesa-gesa atau tanpa penglibatan semua pihak berkepentingan.
"Yang kita hasratkan ketika ini pertamanya ialah memastikan hak dan kesejahteraan anak-anak ini.. kita laksanakan dengan bersungguh-sungguh.
"Tujuan kita melihat keseluruhan dasar ini juga adalah menekankan aspek asas mengikut tahap perkembangan murid dan bukannya mempercepatkan pembelajaran akademik..ini bukan soal berlumba-lumba.
"Kita melihat kanak-kanak yang bersedia sahaja yang kita akan sambut melalui ujian diagnostik ini.
"Kita melihat bahawa persediaan itu harus melalui proses melibatkan emos dan kemahiran yang (pada masa sama) telah bersedia untuk masuk ke Darjah 1," ujar beliau yang juga Ketua Wanita KEADILAN Pusat.









Comments