KEADILAN Johor, SPNB lakukan kerjasama tingkat pemilikan rumah rakyat
- Suara Keadilan

- Oct 6
- 1 min read

Biro Latihan dan Akademi KEADILAN Johor dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah menganjurkan Program Taklimat Ringkas SPNB bagi memperkukuh kerjasama strategik antara parti dan agensi kerajaan dalam usaha meningkatkan pemilikan Rumah Mesra Rakyat (RMR) kepada rakyat yang layak.
Program yang berlangsung di Restoran Lepak Corner itu dihadiri oleh Ahli Lembaga Pengarah SPNB, Mohd Kamel Yassin, wakil SPNB Johor serta pimpinan KEADILAN Negeri Johor yang terdiri daripada Ketua-Ketua Cabang dan Ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPNJ).
Menurut kenyataan penganjur, taklimat ini bertujuan memberi pencerahan tentang peranan SPNB serta memperkenalkan Program Rumah Mesra Rakyat agar pimpinan parti sebagai saluran maklumat memanjangkannya kepada rakyat yang layak memohon skim berkenaan.
"Program ini adalah memberi penerangan ringkas mengenai peranan SPNB serta memperkenalkan Program Rumah Mesra Rakyat (RMR). Selain itu, program ini turut memberi ruang kepada peserta untuk mengemukakan pandangan dan cadangan melalui sesi soal jawab bersama wakil SPNB," kata kenyataan itu.
Program yang berjalan dengan lancar itu turut diakhiri dengan sesi penghargaan kepada semua peserta yang hadir atas komitmen mereka menjayakan inisiatif berkenaan.
"Ucapan tahniah dan penghargaan khusus disampaikan kepada Sdr Haniff Hosman dari Biro Latihan dan Akademi KEADILAN Johor atas penganjuran program yang bermanfaat ini," tambah kenyataan tersebut.
Program seumpama ini diharap dapat memperkukuh hubungan strategik antara agensi kerajaan dan masyarakat melalui kerjasama parti politik yang berpaksikan agenda rakyat.









Comments