KEADILAN Johor muktamadkan pelantikan jawatan utama MPN
- Suara Keadilan
- 16 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Johor telah memuktamadkan pelantikan jawatan utama di peringkat negeri bagi penggal 2025–2028.
Pengerusi MPN Johor, Dr Zaliha Mustafa berkata, pelantikan dibuat menerusi mesyuarat yang diadakan di Ibu Pejabat KEADILAN Johor pada Sabtu.
"Mesyuarat mencatatkan kehadiran penuh dengan penyertaan 26 Ketua Cabang, 6 Ahli Parlimen, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri, serta Ketua dan Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Negeri dan Wanita Negeri.
"Dalam sesi tersebut, MPN KEADILAN Johor memuktamadkan pelantikan jawatan-jawatan MPN dan Ketua-Ketua Biro Negeri," katanya dalam satu kenyataan.
Antara pelantikan utama yang diumumkan ialah Md Ysahruddin Kusni, Ketua Cabang Bakri dan mantan ADUN Bukit Naning, yang kekal sebagai Timbalan Pengerusi MPN.
Turut dilantik ialah tiga Naib Pengerusi iaitu Dr Maszlee Malik (Ketua Cabang Simpang Renggam, mantan Menteri Pendidikan), YB Jimmy Puah (Ahli Parlimen Tebrau, mantan Exco Johor) dan Shamala Vasudevan (Ketua Cabang Segamat).
Selain itu, Mohd Khuzzan Abu Bakar, mantan EXCO Johor yang kini Timbalan Pengerusi TalentCorp, dilantik sebagai Setiausaha MPN, manakala Ketua Cabang Mersing, Khairil Adanan mengetuai Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri (JPRN).
"Pelantikan ini mencerminkan keterangkuman kepelbagaian pengalaman, profesionalisme, dan gender yang akan menjadi tunjang utama kepada memperkukuhkan pergerakan KEADILAN di negeri Johor
"Dengan kesepaduan organisasi dan semangat kerja berpasukan yang mantap, KEADILAN Johor mampu menjadi wadah perjuangan yang kukuh, membawa negeri ini ke arah masa depan yang lebih progresif," katanya.