KEADILAN Johor kecam Israel tahan sukarelawan GSF, tuntut pembebasan segera
- Suara Keadilan
- 3 days ago
- 1 min read

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Negeri Johor mengecam keras tindakan Israel yang memintas dan menahan aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) di perairan antarabangsa, termasuk wakil dari Malaysia, yang dalam misi membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Ketua Penerangan KEADILAN Johor, Fakharuddin Moslim berkata, penahanan itu membuktikan sekali lagi keangkuhan Israel yang terus melanggar undang-undang antarabangsa dan menafikan hak asasi manusia.

"Tindakan kejam ini adalah satu lagi bukti bahawa Israel terus melanggar undang-undang antarabangsa, menafikan hak asasi manusia, serta menindas usaha masyarakat dunia untuk menyuarakan solidariti bersama rakyat Palestin yang sedang menderita akibat penindasan berdekad lamanya," katanya dalam kenyataan.
Beliau menegaskan KEADILAN Johor berdiri teguh bersama pendirian parti dan seluruh rakyat Malaysia dalam menuntut pembebasan segera semua aktivis yang ditahan, selain mendesak komuniti antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk bertindak tegas terhadap Israel.
Fakharuddin turut menyeru rakyat Malaysia supaya terus bersolidariti, memperkukuh gerakan kemanusiaan, dan tidak membiarkan penindasan ini berterusan tanpa bantahan.
"KEADILAN Johor yakin bahawa perjuangan membela rakyat Palestin adalah perjuangan kemanusiaan sejagat," tegasnya.
Untuk rekod, setekat ini 23 sukarelawan GSF warganegara Malaysia telah ditahan tentera Israel.
Sumber Wisma Putra mengesahkan para sukarelawan itu mungkin dihantar pulang dalam waktu terdekat melalui negara ketiga.
Comments