KEADILAN Negeri Johor mengadakan siri
jelajah besar-besaran bagi membantu golongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan banjir baru-baru ini.
Jelajah itu diadakan dengan mengedarkan barangan keperluan asas yang telah dibungkus siap berkotak berjumlah 1,200 kotak kepada semua 26 Cabang Keadilan seluruh negeri Johor sebelum diagihkan di kawasan masing-masing.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata jelajah itu dapat dijayakan hasil daripada sumbangan yang diberikan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.
"Dengan adanya edaran tersebut kepada cabang, mereka boleh sampaikan kepada rakyat yang susah kerana Covid-19 dan terkesan kerana banjir.
"Kita harap sumbangan ini bermakna bagi mereka, walaupun tidak sebesar mana, tetapi sedikit pun memberi bantuan, itu semangat yang kita harapkan dariapda semua pihak sama ada orang politik, NGO dan orang biasa, mereka amat hargai sumbangan ini," katanya.
Pada masa sama, Syed Ibrahim memberi jaminan bahawa jelajah itu diadakan dengan mematuhi SOP dan penjarakan fizikal.
"Kita dapat kerjasama baik dari pihak keselamatan, malah polis turut memberi kerjasama baik setiap kali kita melalui sekatan jalan raya.
"Tetapi kita tetap jaga SOP, jaga penjarakan, jangan himpun lama sangat, buat ringkas dan mudah, edarkan barang dan terus pergi ke tempat lain," katanya.
Comments