KEADILAN Hulu Rajang desak Long Busang, Sang Anau dikembali ke Daerah Belaga
- Redzuan Shamsudin

- May 17
- 1 min read

Mesyuarat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Hulu Rajang semalam mengambil pendirian tegas menggesa agar kawasan Long Busang dan Sang Anau dikembalikan semula ke bawah pentadbiran Daerah Belaga demi kepentingan rakyat setempat.
Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang, Abun Sui Anyit berkata, perkara itu dibincangkan secara mendalam dalam mesyuarat yang berlangsung di Miri, melibatkan kepentingan penduduk di kawasan terbabit.
"Mesyuarat ini telah membincangkan secara panjang lebar berkaitan kepentingan rakyat di Belaga, khususnya melibatkan Long Busang dan Sang Anau.
"Mesyuarat mengambil pendirian bahawa kedua-dua kawasan tersebut wajar dikembalikan ke dalam pentadbiran Daerah Belaga," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, sebelum ini pernah diadakan proses pengundian dalam kalangan penduduk Long Busang yang menyaksikan majoriti besar menyatakan hasrat untuk kembali di bawah pentadbiran Belaga.
"Majoriti besar penduduk Long Busang menyatakan hasrat agar kawasan mereka dikembalikan semula ke bawah pentadbiran Daerah Belaga," katanya.
Tambah beliau, KEADILAN Hulu Rajang akan terus memperjuangkan perkara itu dan menggesa Kerajaan Sarawak agar mengambil tindakan segera.
Dalam masa sama, Senator Dewan Negara itu memaklumkan bahawa penduduk di kedua-dua kawasan itu tidak pernah memberikan persetujuan untuk diletakkan di bawah pentadbiran Bukit Mabong.
Sehubungan itu, beliau turut menggesa kerajaan negeri tampil memberikan penjelasan berhubung kedudukan sebenar perkara berkenaan.
"Ahli Jawatankuasa KEADILAN Hulu Rajang menggesa Kerajaan Sarawak tampil memberikan penjelasan mengenai kedudukan sebenar perkara ini, khususnya berkaitan usaha mengembalikan Long Busang dan Sang Anau ke dalam Daerah Belaga," katanya lagi.




Comments