Keadilan, ehsan jadi asas setiap dasar Kerajaan MADANI - PM
- Azuan Ab Rahman

- Jun 15
- 1 min read

Prinsip keadilan dan ehsan perlu dijadikan asas dalam setiap keputusan serta dasar kerajaan tanpa mengira kaum, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA) kali ke-10 di Putrajaya pada Ahad, Anwar menegaskan bahawa prinsip keadilan sosial yang menjadi tunjang pembangunan negara mesti terus diperkukuh dan pertumbuhan ekonomi semata-mata tidak mencukupi jika hasilnya tidak diagihkan secara adil kepada rakyat yang benar-benar memerlukan.
"Ini isu keadilan sosial, kesamarataan dan kesaksamaan. Itu tujuan dan matlamat kita. Setiap langkah, setiap keputusan mesti memikirkan rakyat terbanyak. Kita perlu memikirkan bagaimana menjana pertumbuhan, itu satu kewajaran.
"Tetapi bagaimana hasil pertumbuhan itu diagihkan, itu satu kemestian. Kalau tidak, ia tidak memaknai kemerdekaan, demokrasi mahupun pertumbuhan itu sendiri. Semua itu mesti menjurus kepada keadilan sosial," katanya dalam hantaran di media sosial.
Beliau yang juga Menteri Kewangan sementara itu menjelaskan, konsep keadilan tidak boleh ditafsirkan sebagai layanan sama rata kepada semua pihak tanpa mengambil kira perbezaan keperluan dan kedudukan.
Sejajar dengan gagasan justice as fairness yang diketengahkan oleh ahli falsafah politik, John Rawls, keadilan mesti memberi peluang saksama kepada semua berdasarkan keperluan dan keadaan masing-masing.
Justeru tambahnya, bantuan dan peruntukan kerajaan perlu disalurkan berdasarkan keperluan sebenar agar jurang pembangunan dapat dirapatkan, khususnya melibatkan golongan miskin dan kawasan yang masih ketinggalan.
"Kadang-kadang dalam wacana dan naratif politik negara, keadilan ditafsirkan mengikut negeri atau kaum. Padahal, ia mesti berdasarkan keperluan. Jika sesuatu kelompok itu ramai yang miskin, maka mereka perlu diberikan perhatian," katanya.




Comments