top of page

KEADILAN Dalam Usia 25 Tahun: Sejarah dan Perjuangan ke Hadapan



Oleh: Hassan Abdul Karim


ULASAN: Pada 21 April 2024 ini akan berlangsung satu konvensyen khas Parti Keadilan Rakyat menyambut ulang tahun ke-25 penubuhannya. Konvensyen tersebut akan diadakan di IDCC Shah Alam, Selangor.


Dalam tempoh satu perempat kurun, KEADILAN telah mengalami jatuh dan bangun sebagai sebuah parti politik nasional.


Bermula dengan penubuhan Parti Keadilan Nasional (KeADILan) pada 4 April 1999 di Hotel Renaissance Kuala Lumpur. KeADILan didukung pada awalnya oleh beberapa faksi.

Antaranya penyokong Anwar Ibrahim dari kalangan UMNO seperti Saifudin Nasustion Ismail, Azmin Ali dan Mustapha Kamil Ayub (sekadar menyebut beberapa nama).


KeADILan juga didukung oleh pertubuhan belia dan NGO Islam seperti ABIM dan beberapa tokoh pemimpin Islam seperti Dr Sidek Fadhil, Dr Mohd Nor Manuty dan Fuziah Salleh.


Beberapa tokoh intelektual dan aktivis sosial serta hak asasi manusia turut terlibat seperti Dr Chandra Mudzafar, Tian Chua, Irene Fernández, R Sivarasa, Elizabeth Wong dan Lathifah Koya (sekadar menyebut beberapa nama).


Bergabung dengan PRM


KeADILan kemudian berkembang dan berakar umbi melalui jalinan sejarah perjuangan apabila pada tahun 2003 bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) lalu membentuk satu entiti baru parti politik yang dikenali sehingga sekarang sebagai Parti Keadilan Rakyat, ringkasnya KEADILAN dan popular juga dengan singkatan PKR.


PRM adalah sebuah parti politik nasional yang ditubuhkan pada tahun 1955 merupakan pewaris sah Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang tegas dan konsisten memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajahan Inggeris.


PRM di bawah pimpinan Dr Syed Husin Ali, Abdul Razak Ahmad, Dr Sanusi Osman dan Rustam A Sani (sekadar menyebut beberapa nama) telah menyambut baik gagasan Anwar Ibrahim yang pada waktu itu berada di dalam penjara supaya KeADILan dan PRM bergabung menjadi sebuah parti politik pelbagai kaum untuk seluruh rakyat Malaysia.


Dalam tempoh 25 tahun yang mencabar ini, Anwar Ibrahim sebagai pemimpin KEADILAN telah melalui ujian yang amat getir dan berat dengan terpaksa keluar masuk penjara kerana memperjuangkan agenda reformasi dalam menghadapi tiga Perdana Menteri Kerajaan Barisan Nasional, iaitu Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Tun Abdul Razak.


Dari parti jalanan ke Putrajaya


Sungguhpun begitu, KEADILAN sebagai jentera organisasi politik menjulang perjuangan reformasi yang dicetuskan oleh Anwar Ibrahim telah mengalami transformasi kualitatif dari sebuah organisasi massa rakyat di jalanan menjadi kekuatan tulang belakang dalam penubuhan beberapa kerajaan negeri di Selangor, Pulau Pinang dan Perak bermula pada tahun 2008.


Kemudian pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018, Parti Keadilan Rakyat bersama-sama gabungan DAP, AMANAH dan PPBM (BERSATU) telah berjaya menumbangkan Kerajaan BN. Buat pertama kalinya Pakatan Harapan (PH) menjadi Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.


Tetapi ketika itu Anwar Ibrahim masih terpenjara. Maka, kemenangan PH dalam PRU-14 itu diikuti dengan pembebasan Anwar Ibrahim, telah membuka ruang dan peluang kepada KEADILAN dan PH dalam PRU-15. Lima tahun kemudian pada November 2022 sekali lagi PH bersama rakan gabungan dibenar membentuk Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, dengan kali ini Anwar Ibrahim dipilih menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.


Perjuangan KEADILAN ke hadapan


Bersempena sambutan Jubli Perak penubuhan KEADILAN sudah tentu pemimpin dan anggota parti seramai lebih sejuta orang di 222 buah kawasan parlimen di seluruh negara akan berani bermuhasabah dan memeriksa kekuatan parti sendiri dengan menjawab sekurang-kurangnya 6 persoalan berikut :


Pertama: Bagaimanakah KEADILAN dan PH dapat mengatasi kekangan untuk melaksanakan agenda reformasi dalam sebuah Kerajaan Perpaduan yang dianggotai oleh 19 buah Parti politik;


Kedua: Bagaimanakah KEADILAN dan PH berusaha menghadapi cabaran sebagai sebuah Parti politik pelbagai kaum yang bersifat sederhana di tengah-tengah politik identiti kaum dan agama yang sempit menuju PRU-16;


Ketiga: Apakah usaha dan strategi KEADILAN dan PH untuk meningkatkan sokongan pengundi Melayu Islam supaya memihak kepada Kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim;


Keempat: Adakah sokongan masyarakat Cina, India dan pribumi di Sabah dan Sarawak masih teguh kepada KEADILAN dan PH;


Kelima: Sejauh manakah rekod pentadbiran Kerajaan Perpaduan sebagai Kerajaan Persekutuan memuaskan sehingga rakyat bersedia untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim ini dalam pilihan raya umum akan datang


Keenam: Khusus kepada lebih sejuta anggota KEADILAN untuk menjawab soalan ini, iaitu sudah bersediakah Parti Keadilan Rakyat menggilap calon-calon pemimpin masa hadapan terutama sebagai Presiden KEADILAN dan Perdana Menteri Malaysia yang akan datang apabila tiba masanya tokoh yang sedia ada berundur.


Selamat menyambut ulangtahun ke-25 Parti Keadilan Rakyat.

_________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page